[VIDEO] Rakyat Indonesia sokong MP Sabak Bernam ‘tegur’ dalam bahasa Jawa

LocalPolitics
22 Oct 2026 • 11:39 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] Rakyat Indonesia sokong MP Sabak Bernam ‘tegur’ dalam bahasa Jawa

PETALING JAYA – Tindakan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan menyampaikan pesanan kepada pemimpin Indonesia berhubung isu jerebu dalam bahasa Jawa mendapat sokongan rakyat negara jiran.

Rakaman ucapan Kalam di Dewan Rakyat semalam tular sehingga ke Indonesia dengan rata-rata pengguna media sosial di republik berkenaan berterima kasih kepadanya kerana menyuarakan masalah jerebu yang turut membelenggu rakyat mereka.

Ada di antara mereka malah menyifatkan wakil rakyat Malaysia itu seolah-olah mewakili suara rakyat Indonesia sendiri dalam mendesak tindakan lebih serius menangani kebakaran hutan dan jerebu.

“Terima kasih Parlimen Malaysia. Anda lebih memahami dan mewakili rakyat Indonesia,” tulis pengguna X, @Rudertiawanst.

Seorang lagi pengguna media sosial, @nenimaulina.w turut memberikan reaksi senada.

“Malah wakil rakyat Malaysia yang mewakili hati rakyat Indonesia. Terima kasih, pak,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengguna Threads, @lembu_perkasa menyifatkan tindakan Kalam menggunakan bahasa Jawa menunjukkan kesungguhan untuk memastikan mesej berhubung masalah jerebu itu sampai kepada pihak berkenaan.

“Sampai kena bagi usaha cakap bahasa mereka nak bagi faham. Semua negara nak kena faham bahasa sana sebab isu sampah dan bencana alam.

“Jepun dan Taiwan buat papan tanda sebab sampah dibuang merata, kita kena terjemah Jawa pula sebab asap,” tulisnya.

Semalam, Kalam ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 di Dewan Rakyat semalam menggesa pemimpin Indonesia mengambil tindakan segera bagi memastikan masalah jerebu rentas sempadan yang berulang ditangani secara serius.

Dalam ucapannya, Kalam antara lain menyentuh kesan jerebu terhadap kesihatan, pendidikan, sektor pelancongan dan mata pencarian, termasuk warga Indonesia yang bekerja di Malaysia.

“Pak, asap daripada kebakaran hutan menyebabkan rakyat Malaysia sukar bernafas, ramai yang batuk, tekak terasa gatal dan mengalami kesukaran bernafas.

“Sekolah juga terpaksa ditutup, sektor pelancongan menjadi lengang dan mereka yang bekerja di ladang tidak dapat bekerja.

“Bukan rakyat Malaysia sahaja yang susah, saudara. Rakyat Indonesia yang bekerja di ladang-ladang di Malaysia juga turut mengalami kesusahan.

“Akibat asap ini, mereka tidak dapat bekerja dan tidak dapat mencari rezeki. Bagaimana mereka mahu meneruskan kehidupan? Bagaimana mereka mahu menghantar wang kepada anak dan isteri di Indonesia?” katanya dalam bahasa Jawa.

Kalam turut mengingatkan supaya isu berkenaan tidak dijadikan bahan gurauan selain menggesa tindakan segera diambil bagi memadamkan kebakaran hutan.

“Jadi, janganlah perkara ini dijadikan gurauan atau bahan lawak. Dikatakan hutan Indonesia sudah menghantar oksigen kepada Malaysia. Jadi, bagaimana pula dengan hutan Malaysia, adakah hanya pokok plastik? Tidak boleh menghasilkan oksigen?

“Tolong tangani isu ini dengan segera. Kebakaran hutan mesti dipadamkan segera. Jangan biarkan perkara ini berlaku berulang kali setiap tahun sehingga Malaysia dan Indonesia terpaksa menderita akibat asap.

“Kita semua mahukan langit yang cerah, udara yang bersih, mudah bernafas dan kehidupan yang sihat. Terima kasih,” katanya.- KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

The post [VIDEO] Rakyat Indonesia sokong MP Sabak Bernam ‘tegur’ dalam bahasa Jawa appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved