[VIDEO] ‘Selamba bawa kereta seperti tiada apa yang berlaku’

LocalCars
12 Oct 2026 • 1:59 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] ‘Selamba bawa kereta seperti tiada apa yang berlaku’

PETALING JAYA – Tindakan sebuah kereta jenis BYD Seal yang didakwa terus meninggalkan lokasi selepas terbabit dalam kemalangan sehingga meragut nyawa kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Asiah Ahmad Syahir, mengundang kemarahan pengguna media sosial.

Menerusi beberapa rakaman tular di Threads, sebuah BYD Seal berwarna hitam dilihat bergerak perlahan di atas jalan raya dengan bahagian hadapan sebelah kanan kenderaan itu mengalami kerosakan teruk.

Rakaman berkenaan dipercayai dirakam selepas kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, kelmarin yang menyebabkan Asiah meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Seorang pengguna media sosial yang berkongsi rakaman itu menulis kapsyen ringkas, ‘Lepas langgar’ dengan video berkenaan sehingga kini meraih ribuan tanda suka dan perkongsian.

Perkongsian itu turut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang mempersoalkan tindakan pemandu terbabit meninggalkan tempat kejadian.

“Setenang itu dia memandu selepas melanggar dan lari. Selamba macam tak ada apa yang berlaku,” kata seorang pengguna.

“Selepas melanggar orang, boleh pula bawa kereta perlahan-lahan. Tadi laju-laju hendak pergi mana?,” komen pengguna lain.

Terdahulu, polis mengesahkan Asiah maut selepas Perodua Bezza dinaiki bersama bapanya dirempuh dari belakang oleh sebuah BYD Seal ketika aliran trafik bergerak perlahan dari arah pusat bandar menghala ke Segambut kira-kira pukul 3.44 petang.

Pelanggaran itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza berkenaan berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.

Asiah yang berada di tempat duduk penumpang belakang mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Bapanya yang berusia 30 tahun mengalami kecederaan di tangan kanan manakala seorang penunggang motosikal berusia 33 tahun cedera di kepala. Kedua-duanya turut menerima rawatan di HKL.

Sementara itu, pemandu BYD Seal berusia 24 tahun yang meninggalkan lokasi kejadian berjaya dikesan polis di sebuah hospital swasta di Damansara, tempat dia sedang menerima rawatan akibat gegaran otak.

Lelaki terbabit kini berada di bawah pemantauan pegawai penyiasat sementara siasatan lanjut diteruskan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan. – KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

The post [VIDEO] ‘Selamba bawa kereta seperti tiada apa yang berlaku’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved