![Image from: [VIDEO] Selesai bayar jamin RM450,000, Azeez Rahim masih dalam tahanan sehingga esok](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/5a43c9a0-d0c1-4258-b968-d3e56d1786b1-1024x682.jpeg)
KUALA LUMPUR – Meskipun telah membayar ikat jamin RM450,000 seperti yang dibenarkan mahkamah, bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim terpaksa ke lokap tahanan polis sehingga esok.
Ini kerana, Abdul Azeez perlu menjalani perintah reman bagi siasatan kes Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan tipu pemberian hibah.
Peguamnya, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, perintah reman yang dikeluarkan sebelum ini masih berkuat kuasa dan perlu dipatuhi sehingga tempoh tersebut berakhir.
“Secara teknikalnya, ya, kerana perintah reman masih berkuat kuasa dan ia perlu dipatuhi.
“Dia masih berada dalam tahanan polis sehingga tempoh reman tamat. Selepas itu, dia boleh dibebaskan,” katanya.
Terdahulu, Abdul Azeez, 60, direman dua hari bermula hari ini selepas mahkamah membenarkan permohonan polis bagi membantu siasatan kes tipu berkait pemberian hibah TH.
Sementara itu , ditanya mengenai keadaan anak guamnya, beliau berkata, bekas Ahli Parlimen Baling itu berada dalam keadaan baik walaupun kecewa dengan beberapa dakwaan yang disifatkannya sebagai tidak benar.
“Dia bertekad untuk membersihkan namanya. Pasukan peguam juga bersedia meneliti perkara ini dan mempertahankan dirinya,” katanya.
Dalam prosiding hari ini, Abdul Azeez mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan jawatan di sebuah syarikat dan manfaatnya serta meyakinkan Ahli Lembaga TH membuat pelaburan RM193.5 juta di syarikat sama. – KOSMO! ONLINE





