![Image from: [VIDEO] Semangat nak berarak Maulidur Rasul, hujan lebat pula](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-25-at-10.39.06-1-1024x766.jpeg)
PETALING JAYA – Suasana sambutan Maulidur Rasul di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pagi ini bertukar kelam-kabut apabila hujan lebat turun secara tiba-tiba sehingga menyebabkan peserta berlari mencari tempat perlindungan.
Rakaman yang tular di media sosial memaparkan peserta yang lengkap berpakaian mengikut kontinjen masing-masing cuba menyelamatkan diri daripada terus dibasahi hujan.
Paling mencuri perhatian, ada sekumpulan peserta dilihat berhimpit di bawah sepanduk untuk dijadikan pelindung sementara, manakala sebahagian yang lain bergegas meninggalkan kawasan padang.
Dalam perkongsian susulan, pengguna sama berkata keadaan menjadi semakin sesak apabila orang ramai serentak cuba keluar dari kawasan berkenaan.
“Berlari untuk berlindung. Jem pula nak keluar pagar,” katanya.
Bagaimanapun, sambutan berkenaan difahamkan tidak terhenti begitu sahaja apabila acara kemudiannya diteruskan di Hotel Royal Chulan Seremban.
Menurut satu perkongsian di Threads, ruang berkenaan pada asalnya disediakan bagi majlis santapan selepas perarakan, namun digunakan untuk meneruskan acara dalam kapasiti seadanya selepas hujan lebat melanda.
“Allah punya kuasa, makhluk tiada kuasa. Majlis ditukar ke Royal Chulan Seremban,” katanya.
Kejadian itu turut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial dengan rata-rata menyifatkan hujan tersebut sebagai rahmat, selain bersimpati dengan peserta yang terpaksa berdepan cuaca tidak menentu.
“Pertama kali jadi macam ini. Hujan rahmat juga, Negeri Sembilan lama dah panas,” katanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] Semangat nak berarak Maulidur Rasul, hujan lebat pula appeared first on Kosmo Digital.


