
PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta segera menyiasat kaedah penyembelihan dan status halal susulan penularan video memproses ayam dan isu kebersihan di sebuah premis di Kuala Lumpur.
Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen, Datuk Dr. Radzi Jidin menerusi hantaran di media sosial memaklumkan, beliau menerima banyak aduan berhubung video berkenaan yang tular di media sosial.
Menurut beliau, siasatan pihak berkuasa perlu merangkumi kaedah penyembelihan, status halal dan destinasi bekalan serta penjualan ayam yang diproses di premis berkenaan.
“Siasatan bersepadu bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Imigresen perlu dijalankan bagi meneliti aspek kebersihan serta pematuhan undang-undang kemungkinan penyalahgunaan logo halal serta status permit pekerja asing,” katanya.
Radzi berkata, tindakan tegas perlu diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang pelanggaran undang-undang.
“Isu halal dan keselamatan makanan tidak boleh dipandang ringan!” katanya.
Beliau turut memaklumkan telah mengemukakan aduan rasmi kepada Pejabat Ketua Pengarah Jakim untuk tindakan siasatan, selain memaklumkan perkara itu kepada Pejabat Menteri Agama. – KOSMO! ONLINE
The post Video sembelih ayam: Radzi Jidin desak Jakim siasat status halal appeared first on Kosmo Online.






