
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menjalankan siasatan menyeluruh bersama pihak berkuasa tempatan berhubung isu pemprosesan dan penyembelihan ayam yang tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee memaklumkan, siasatan berkenaan melibatkan sebuah syarikat yang bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan berkaitan syarikat bukan pemegang SPHM terkait isu ayam yang sedang tular,” menurut kenyataan itu.
Perkembangan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan video tular yang sebelum ini membangkitkan persoalan mengenai kaedah pemprosesan ayam serta tahap kebersihan di sebuah premis di Kuala Lumpur.
Terdahulu, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin menggesa JAKIM menjalankan siasatan segera terhadap kaedah penyembelihan, status halal serta lokasi ayam berkenaan dibekalkan dan dijual.
Beliau turut mencadangkan supaya siasatan bersepadu dilaksanakan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Menurut Radzi, siasatan perlu merangkumi aspek kebersihan premis, pematuhan undang-undang, kemungkinan penyalahgunaan logo halal serta status permit pekerja asing.
Beliau turut memaklumkan bahawa aduan rasmi telah dikemukakan kepada Pejabat Ketua Pengarah JAKIM selain perkara itu dimaklumkan kepada Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
The post JAKIM jalankan siasatan menyeluruh isu penyembelihan ayam tular appeared first on The Reporter.






