![Image from: [VIDEO] Setiausaha Akhbar White House tular satu dunia kerana tersasul](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/Zacharia.-Foto-AFP.jpeg)
WASHINGTON — Penampilan sulung Setiausaha Akhbar White House yang baharu, Katie Zacharia, dalam sesi taklimat media pertamanya menjadi tular selepas beliau dilihat gagal mengawal emosi, gementar, dan melakukan beberapa kesilapan melucukan.
Taklimat media berdurasi 14 minit yang berlangsung semalam pada asalnya bertujuan untuk memperkenalkan Zacharia, 41, sebagai wajah baharu pentadbiran Presiden Donald Trump bagi menggantikan Karoline Leavitt.
Bagaimanapun, sesi tersebut bertukar menjadi medan kritikan netizen selepas beberapa potongan video taklimat itu tular di platform X dan Instagram.
Antara momen paling mencuri tumpuan adalah apabila beliau tersasul ketika menjawab soalan wartawan mengenai bagaimana dia akan merancang membahagikan masa antara kerjaya baharunya yang sibuk dengan tanggungjawab membesarkan empat orang anak.
“Presiden saya… maafkan saya, maksud saya suami saya,” katanya yang kelihatan tersipu malu selepas secara tidak sengaja merujuk suaminya sebagai “my president”.
Walaupun beliau cuba mengawal keadaan dengan berseloroh, klip video babak itu telah dikongsi beribu-ribu kali oleh pengguna media sosial dalam masa beberapa jam.
Suasana menjadi semakin tegang apabila Zacharia dilihat tidak bersedia untuk menjawab soalan kritikal daripada wartawan Fox News, Peter Doocy, mengenai status perkongsian maklumat perisikan Amerika Syarikat dengan Ukraine.
Beliau yang kelihatan hilang tumpuan sekadar memberikan jawapan klise, “I’ll have to get back to you on that” (Saya akan maklumkan semula kepada anda mengenai perkara itu).
Selain isu tersasul, gaya pengendalian taklimat turut dipertikaikan apabila beliau menamatkan sidang media secara tiba-tiba selepas hanya memilih tiga soalan daripada agensi media berhaluan kanan seperti Breitbart, Fox News, dan Daily Mail.
Beliau juga gagal memberikan penjelasan konkrit mengenai latar belakang undang-undangnya apabila ditanya di mana beliau lulus peperiksaan peguam (bar exam), dengan hanya menjawab, “When I moved to China” (Apabila saya berpindah ke China).
Zacharia, seorang pengulas politik konservatif dan penyokong tegar gerakan MAGA, kini berdepan tugas sukar untuk membuktikan keupayaannya di podium White House selepas permulaan langkahnya yang disifatkan ramai sebagai ‘langkah kiri’. – Agensi
The post [VIDEO] Setiausaha Akhbar White House tular satu dunia kerana tersasul appeared first on Kosmo Online.



