![Image from: [VIDEO] Tengah ‘live’ tiba-tiba Tunku Azizah muncul dari belakang](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-27-at-10.32.18-PM-1024x766.jpeg)
PETALING JAYA – Siaran langsung TikTok sebuah butik di Bangsar bertukar istimewa apabila Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah secara tiba-tiba singgah dan turut muncul bersama kakitangan premis berkenaan.
Menerusi perkongsian di Threads, pihak butik menyifatkan kunjungan tersebut sebagai antara momen yang sukar dilupakan kerana ia berlaku ketika kakitangannya sedang bersiaran langsung.
“Bayangkan anda tengah siaran langsung, dan tiba-tiba didatangi oleh Tuanku Azizah.
“Itulah momen yang tak dapat dilupakan oleh kami semalam ketika Tuanku singgah ke butik kami di Bangsar, siap Tuanku masuk sekali dalam siaran langsung TikTok bersama staf kami,” katanya.
Dalam kunjungan sama, Tunku Azizah turut memilih sepasang telekung untuk dijadikan hadiah.
Pihak butik menzahirkan penghargaan terhadap sokongan dan kepercayaan baginda yang disifatkan sebagai satu penghormatan buat mereka.
Kemunculan spontan serta sikap bersahaja baginda kemudian menjadi perhatian pengguna media sosial yang memenuhi ruangan komen dengan pelbagai reaksi.
“Reviewer (pengulas) tahap kayangan ni,” seloroh Durrashahirah.
Pengguna Marianiyoon pula tertarik dengan cara Tunku Azizah membahasakan diri ketika berbual.
“Alahai, comel betul Tuanku Azizah, bahasakan diri ‘saya’ je, humble betul. Siap doakan, saya doakan juga Tuanku sihat sentiasa,” katanya.
Sementara itu, Zamri_mac_arm turut memuji sikap rendah diri baginda.
“Tuanku ni lupa kot dia ni Tuanku… sangat merendah diri betul la,” komennya. — KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] Tengah ‘live’ tiba-tiba Tunku Azizah muncul dari belakang appeared first on Kosmo Digital.



