![Image from: [VIDEO] Terumbu karang Pulau Redang semakin tenat, ‘overtourism’ antara punca](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/PR-1024x576.jpeg)
PETALING JAYA – Keindahan dasar laut Pulau Redang berdepan ancaman apabila keadaan terumbu karang di pulau peranginan itu didakwa semakin merosot dari tahun ke tahun susulan pelbagai faktor termasuk lambakan pelancong.
Menerusi perkongsian video oleh pengguna TikTok @N.muif, data yang dikumpulkan selepas pandemik Covid-19 pada 2021 menunjukkan keadaan terumbu karang di Pulau Redang semakin mengalami kemerosotan.
“Selepas Covid-19 pada 2021, apabila kita mengumpulkan data, kita dapat lihat dengan jelas bahawa terumbu karang di Redang semakin merosot dari tahun ke tahun,” katanya.
Menurutnya, antara faktor utama menyumbang kepada keadaan itu adalah pelancongan berlebihan atau ‘overtourism’ (pelancongan berlebihan) apabila terlalu ramai pengunjung tertumpu di lokasi snorkeling sama sehingga memberi tekanan kepada ekosistem berkenaan.
“Kebanyakannya disebabkan ‘overtourism’. Terlalu ramai orang datang ke satu lokasi snorkeling sahaja. Terumbu karang tidak boleh berada di kawasan yang terlalu sesak kerana ia akan mengalami tekanan,” katanya.
Selain itu, kekurangan boya tambatan menyebabkan sesetengah bot terpaksa melepaskan sauh terus ke dasar laut sekali gus berisiko merosakkan terumbu karang termasuk kawasan yang sedang melalui proses pemulihan.
“Boya tidak mencukupi, jadi bot terpaksa mencari jalan sendiri dengan melepaskan sauh terus ke laut. Ada kalanya terumbu karang yang kita tanam dalam program pemulihan rosak kerana terkena sauh,” ujarnya.
Katanya, tahap kesedaran dalam kalangan sebahagian pelancong dan pengendali lawatan sehari mengenai penjagaan ekosistem laut juga masih rendah sehingga ada yang memijak karang serta mengambil hidupan laut.
“Disebabkan kurang kesedaran, ada yang memijak terumbu karang dan mengambil gamat. Mereka tidak tahu bahawa perbuatan itu sebenarnya salah,” katanya.
Pada masa sama, pertambahan jumlah pelancong turut dikaitkan dengan peningkatan sisa pepejal di Pulau Redang sehingga memberi tekanan kepada pulau peranginan tersebut.
“Apabila jumlah pelancong meningkat, sampah di pulau turut bertambah. Namun, Redang masih boleh diselamatkan tetapi kita perlu bermula sekarang,” katanya.
Dia berkata, usaha menjaga Pulau Redang perlu dilakukan segera dan secara bersama bagi memastikan keindahan serta ekosistem lautnya terus terpelihara. – KOSMO! ONLINE
@n.muif Dari Redang, untuk semua Sebab sekarang terlalu banyak masalah mula timbul and we need to take an action together. Kalau nak letak semua dalam satu video ni memang tak muat. Sama sama la kita jaga pulau kita untuk masa hadapan Ikhlas dari Redang, untuk semua #cinematic #creatorsearchinsight ♬ original sound – n.muif
The post [VIDEO] Terumbu karang Pulau Redang semakin tenat, ‘overtourism’ antara punca appeared first on Kosmo Digital.






