
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis telah menyerahkan kertas siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir, 13, kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada pagi Isnin.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan telah pun selesai dan laporannya diserahkan kepada AGC untuk tindakan selanjutnya.
**media[3241618]**
Pada masa sama, beliau menegaskan tiada sebarang penutupan kes atau cover up oleh mana-mana pihak berkuasa bermula daripada proses bedah siasat sehingga siasatan lanjutan membabitkan kematian pelajar itu.
“Saya ingin menegaskan sekali lagi di dalam dewan yang mulia ini, dari awal insiden hingga ke proses bedah siasat kedua dan siasatan lanjutan ini, tiada sebarang cubaan penutupan kes atau cover up oleh mana-mana pihak berkuasa.
“Segala tindakan yang diambil adalah berdasarkan fakta, laporan dan permohonan yang sah. PDRM telah dan akan terus menjalankan siasatan secara menyeluruh dan berterusan.
“Walau bagaimanapun, dalam kes seperti ini, terutamanya apabila ia menarik perhatian umum, akan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan mengikut kepentingan masing-masing,” katanya ketika menyampaikan taklimat khas menteri di Dewan Rakyat pada Isnin.
Tambah Saifuddin, segala tindakan yang diambil dibuat atas satu niat iaitu untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan kepada pelajar berkenaan.
Beliau turut menafikan beberapa dakwaan yang tular, antaranya kononnya cucu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman terlibat; pengetua sekolah merupakan isteri seorang menteri; serta mangsa mati akibat didera dalam mesin basuh.
“Siasatan polis tidak menemui semua perkara yang disebut itu. Tidak ada sama sekali, setelah keterangan daripada 195 saksi diambil.
“Ada ketidakpatuhan yang saya sebut tadi tetapi ia tidak menjejaskan integriti siasatan, apatah lagi setelah pasukan Bukit Aman mengambil alih. Polis terus menyiasat tanpa sebarang drama. Komitmen polis adalah untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan bagi Allahyarhamah Zara,” ujarnya.
Menurut beliau, penjelasan itu penting bagi menangkis sebarang dakwaan tidak berasas dan memastikan semua pihak memahami integriti proses siasatan yang sedang berjalan.
Jelasnya, tuduhan mengatakan bahawa kes itu cuba ditutup dan dimanipulasi adalah dakwaan yang sangat berat serta tidak mencerminkan realiti tindakan pihak berkuasa sejak awal hingga kini.
“Siasatan ini termasuklah membawa kepada diari adik Zara yang diserahkan oleh guru kepada polis. Catatan setebal 51 halaman itu memuatkan luahan hati adik Zara tentang masalah yang sedang dihadapinya.
“Keterangan oleh rakan-rakan yang tinggal sebilik asrama dengannya, serta apa yang berlaku pada tarikh 14 dan 15 itu turut dilengkapkan dalam siasatan. Semua dokumen dan bukti ini kemudiannya dicadangkan oleh polis untuk dirujuk kepada Peguam Negara,” katanya.
Lagi artikel berkaitan:

