Video tular bukan kes culik tapi wanita ditahan kerana serang pengunjung

22 Mar 2025 • 10:57 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tangkap layar video tular menunjukkan seorang wanita ditahan apabila didakwa mengekori seorang ibu bersama anak-anaknya serta bertindak agresif, termasuk menendang mangsa.

MELAKA - Seorang wanita mencetuskan kekecohan di sebuah pasar raya di Dataran Pahlawan, di sini apabila didakwa mengekori seorang ibu bersama anak-anaknya serta bertindak agresif, termasuk menendang mangsa.

Dalam kejadian jam 7.15 malam pada Jumaat, suspek sebelum itu dikatakan bercakap sendirian dan menjerit-jerit.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa yang merupakan suri rumah membuat laporan berhubung kejadian jam 9.23 malam hari sama.

"Mangsa memberitahu suspek didapati bercakap sendirian dan menjerit-jerit dan cuba mengekorinya sehingga ke eskalator pasar raya.

"Suspek kemudiannya bertindak menendang mangsa sebelum dia terjatuh, menyebabkan orang ramai mula mengerumuninya," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Menurutnya, polis yang menerima maklumat tiba di lokasi dan membawa suspek ke balai polis sebelum dihantar ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan, suspek didapati merupakan pesakit mental dan sudah beberapa kali mendapat rawatan di Bahagian Psikiatri Hospital Melaka.

"Dia kini masih ditahan di Bahagian Psikiatri untuk pemantauan lanjut.

"Video tular bukan kes cubaan culik kanak-kanak sebaliknya wanita itu adalah pesakit mental," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini yang boleh mendatangkan kegusaran.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved