[VIDEO] Zahid selar pihak manipulasi slogan ‘No Anwar, No DAP’

LocalPolitics
16 Jan 2026 • 11:26 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
image is not available
Ahmad Zahid - Foto:SINARHARIAN/ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar segelintir pihak yang memanipulasi slogan ‘No Anwar, No DAP’ untuk menggambarkan seolah-olah parti itu mencabuli keputusan yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) mengenai kerjasama politik mereka.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan, sedangkan keputusan berkenaan sebenarnya dibuat sebagai pendirian untuk UMNO bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.

“Kita tidak pernah mengorbankan manifestasi perjuangan parti kita, malah ‘No Anwar, No DAP dan No Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), suatu ketika dahulu menjadi ‘mantra’ untuk menggambarkan seolah-olah kita mencabuli keputusan yang dibuat di dalam PAU.

“Hakikatnya, kita mengambil keputusan untuk bersama kerajaan hari ini setelah ada pihak yang menolak titah Yang Di-Pertuan Agong supaya dibentuk Kerajaan Perpaduan sesama mereka,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden UMNO pada PAU 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Presidan UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Turut hadir pimpinan parti komponen BN iaitu Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Ahmad Zahid menambah, UMNO kekal memperjuangkan nasib rakyat yang jelas boleh dilihat menerusi pelbagai isu yang timbul di negara ini sejak kebelakangan ini.

“Saya ingin bertanya, apakah pendirian kita menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), yang akan menghakis hak pemilikan dan meminggirkan suara orang Melayu di bandar, boleh dikatakan sebagai mencairkan agenda perjuangan Melayu?

“UMNO yang menolak kedua-dua ini. Apakah kita menolak pengiktirafan Tapak Warisan Dunia yang berat sebelah, dikatakan sebagai tunduk kepada agenda pihak lain?

“Apakah apabila kita membantah Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang mencabar sistem pendidikan negara, dikatakan sebagai tanda kita berkompromi? Tentu jawapannya, kita tidak pernah mengorbankan manifestasi perjuangan parti keramat ini,” jelas beliau.