
Spekulasi mengenai masa depan Maverick Vinales dalam MotoGP semakin hangat apabila pelumba Sepanyol itu secara terbuka menyuarakan kekecewaannya terhadap KTM berhubung situasi kontraknya bagi musim 2027.
Dalam kenyataan yang cukup pedas, Vinales mendakwa beliau sepatutnya menjadi sebahagian daripada pasukan kilang KTM berdasarkan perancangan awal yang telah dibincangkan. Namun, perkembangan terkini seolah-olah menunjukkan perkara tersebut tidak akan menjadi kenyataan.
Lebih mengecewakan, Vinales mendakwa beliau mengetahui banyak perkembangan mengenai masa depannya melalui laporan media dan wartawan, bukannya melalui komunikasi rasmi daripada pihak pengurusan KTM sendiri.
“Jika saya tidak lagi berada dalam Kejuaraan Dunia, hanya ada satu pihak yang perlu dipersalahkan iaitu KTM,” tegasnya.
Kenyataan itu memberi gambaran jelas bahawa hubungan antara kedua-dua pihak mungkin sudah retak. Pada usia 31 tahun, Vinales masih dianggap antara pelumba berpengalaman yang mampu memberikan keputusan kompetitif sekiranya diberikan jentera yang sesuai.
Apa yang lebih menarik, kenyataan ini muncul ketika pasaran perpindahan pelumba MotoGP 2027 sedang rancak susulan beberapa perpindahan besar melibatkan Ducati, Aprilia dan Honda.
Persoalannya kini, adakah Vinales masih mempunyai masa depan dalam MotoGP, atau adakah episod bersama KTM bakal menjadi noktah kepada kariernya di pentas tertinggi perlumbaan motosikal dunia?
Teruskan bersama Two Wheels..!
The post Vinales Lepaskan Kemarahan, KTM Dipersalahkan Jika Karier MotoGP Berakhir appeared first on TW Media.
