
Viral Kes Puluhan Bangkai Kucing Disimpan Dalam Freezer
Satu kes melibatkan kebajikan haiwan mengejutkan komuniti pencinta kucing di Solo, Jawa Tengah apabila puluhan bangkai kucing dipercayai disimpan di dalam peti sejuk beku (freezer) di sebuah rumah penjagaan haiwan.
Penemuan itu dibuat oleh komuniti Cat Lovers in The World (Clow) Solo selepas menerima aduan daripada pemilik kucing yang menghantar haiwan peliharaan mereka ke premis berkenaan.
Alasan simpan bangkai kucing
Menurut wakil Clow Solo, beliau bersama pasukan mendatangi rumah penjagaan tersebut pada malam Isnin (11 Ogos 2025) dan menemui pemilik premis.
Ketika pemeriksaan kedua pada malam Selasa (12 Ogos 2025) pula, Clow Solo mendapati masih terdapat tiga bangkai kucing di dalam freezer.
Pihaknya kemudian meminta semua yang masih ada dikeluarkan dan dikuburkan pada malam yang sama.
Hasil perbincangan mendedahkan banyak kucing telah mati sejak September 2024 hingga Februari 2025, namun tidak dikuburkan.
“Pemilik mengaku pada Februari lalu, bangkai kucing yang disimpan dalam freezer pernah mencecah 89 ekor sebelum dikuburkan secara berkelompok,” katanya pada Rabu (13 Ogos 2025).
Keadaan kucing hidup yang ditemui
Selain penemuan bangkai, puluhan kucing masih hidup ditemui dalam keadaan kurang terjaga.
Ada yang kelaparan, kehausan dan ditempatkan di dalam kandang yang gelap serta tidak memenuhi standard kebajikan haiwan.
Justeru, sebanyak 48 ekor kucing yang masih hidup telah dipindahkan pada pagi Rabu ke pusat perlindungan Clow di Parung, Bogor, Jawa Barat.
Ini kerana kemudahan di Solo dan Jogja tidak dapat menampung jumlah tersebut.
Motif masih belum diketahui
Punca sebenar pemilik premis menyimpan bangkai kucing dalam freezer dan membiarkan kucing hidup dalam keadaan terabai masih belum jelas.
Pemilik mendakwa dirinya tidak bersalah dan menyatakan bahawa kucing-kucing tersebut telah dirawat.
Difahamkan, kes ini akan dibawa kepada pihak berkuasa, dan Clow Solo dijangka membuat laporan rasmi pada Khamis (14 Ogos 2025).
Sumber: Liputan6.com
The post Viral Kes Puluhan Bangkai Kucing Disimpan Dalam Freezer appeared first on Siakap Keli.


