
Vivo Malaysia secara rasmi melancarkan telefon pintar kelas pertengahan terbaharunya, Vivo V80, untuk pasaran tempatan. Ia hadir sebagai pengganti kepada model Vivo V70 tahun lalu, tampil dengan rekaan yang diperbaharui, kapasiti bateri lebih besar serta sistem kamera yang masih dibangunkan bersama ZEISS.
Namun selain daripada itu, ia masih mendukung spesifikasi yang sama berbanding generasi sebelumnya.
Harga dan ketersediaan Vivo V80 di Malaysia

Vivo V80 ditawarkan dalam tiga varian storan yang kesemuanya dipadankan dengan kapasiti RAM 8GB secara standard. Sempena pelancarannya, Vivo menawarkan rebat sebanyak RM200 bagi kesemua varian dengan harga jualan seperti berikut:
- Vivo V80 8GB+128GB –
RM2,599RM2,399 - Vivo V80 8GB+256GB –
RM2,899RM2,699 - Vivo V80 8GB+512GB –
RM3,499RM3,299
Bagi yang berminat, peranti ini sudah dibuka untuk pratempah di Malaysia sehingga 27 November, dengan tawaran hadiah bernilai sehingga RM2,042. Ini termasuk:
- Rebat RM200
- Set hadiah bernilai RM518 (merangkumi vivo Buds Air 3, vivo powerbank 33W 10000mAh, v selection Watch V5 dan tripod magnetik)
- Perlindungan Vivo Care (Waranti 2 tahun, waranti berbilang negara 1 tahun dan perlindungan skrin dan penutup belakang 6 bulan)
- Langgan premium Viu selama 3 bulan
- Langganan Google One selama 6 bulan
Pembelian boleh dibuat menerusi stor rasmi Vivo e-store, serta platform Lazada, Shopee, dan TikTok Shop dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, hijau, dan Starwish Purple.
Sebagai perbandingan, harga jualan rasmi model kali ini menyaksikan peningkatan agak ketara berbanding generasi terdahulu yang dilancarkan pada harga RM1,999 (8GB + 256GB) dan RM2,599 (12GB + 512GB), meskipun kapasiti RAM tertinggi kini dihadkan kepada 8GB sahaja.
Spesifikasi Vivo V80

Perubahan paling ketara pada Vivo V80 terletak pada reka bentuk luarannya. Ia kini menggunakan modul kamera berbentuk plateau di bahagian atas dengan susunan lensa dan lampu flash yang disusun semula. Menurut Vivo, ia menggunakan rekaan Flagship One-Piece Cold-Carved Glass dengan panel belakang dan modul kamera diukir daripada sekeping kaca tunggal bagi memberikan kemasan yang lebih lancar.
Khusus untuk varian Starwish Purple, Vivo menggunakan teknologi Laser Holographic Lithography yang mengukir 3,600 imej beresolusi 4K pada panel belakang untuk menghasilkan efek 3D corak bintang yang berubah mengikut pantulan cahaya. Bingkainya diperbuat daripada logam bergred aeroangkasa, manakala skrin hadapannya dilapisi dengan kaca SCHOTT.

Menurut Vivo, telefon ini turut menerima pensijilan tahan jatuh SGS Overall Unit Drop Resistance, serta penarafan kalis air dan debu IP68 dan IP69.
Pada bahagian hadapan, n, Vivo V80 masih mengekalkan paparan AMOLED berukuran 6.59-inci dengan resolusi 1.5K, kecerahan puncak setempat mencecah 5,000 nits, serta kecerahan minimum 1 nit. Namun, ia kini menyokong kadar segar semula lebih pantas pada 144Hz berbanding 120Hz sebelum ini.

Untuk prestasi dalaman, Vivo V80 dikuasakan cip Qualcomm Snapdragon 7 Gen 4, iaitu cip yang sama digunakan sejak dua generasi lepas. Ia dipadankan dengan RAM 8GB serta storan dalaman UFS 4.1 sehingga 512GB. Meskipun menggunakan cip lama, Vivo mendakwa pemproses ini masih mampu menyokong permainan pada kadar bingkai sehingga 144 FPS.
Tenaga peranti pula disalurkan oleh bateri BlueVolt 7,200mAh berasaskan teknologi anod silikon karbon generasi keempat, iaitu naik taraf berbanding 6,500mAh pada model terdahulu. Ia masih mengekalkan pengecasan pantas 90W FlashCharge yang didakwa mampu mengecas sehingga 50% dalam masa 30 minit, di samping sokongan ciri Multi-Scenario Bypass Charging.

Beralih kepada bahagian pengimejan, Vivo V80 kekal menampilkan sistem tiga kamera belakang yang sama, hasil kerjasama ZEISS. Ia merangkumi kamera utama 50MP dengan sensor Sony LYTIA 700V bersaiz 1/1.56-inci dan OIS, kamera telefoto 50MP menggunakan sensor Sony IMX882 bersaiz 1/1.95-inci dengan OIS serta sokongan zum optik 3x dan zum digital sehingga 100x, di samping kamera ultralebar 8MP.
Untuk swafoto, terdapat kamera hadapan 50MP dengan fungsi autofokus yang ditempatkan pada lubang di bahagian atas skrin.
Kedua-dua kamera hadapan dan belakang menyokong rakaman video sehingga 4K 60fps. Untuk fotografi potret, ia turut dilengkapi mod ZEISS 100mm Center-Stage Portrait dengan bokeh Planar Style, serta ZEISS 85mm Center-Stage Portrait dengan bokeh Sonnar Style, di samping kesan flash klasik ala kamera CCD. Turut disertakan adalah ciri suntingan berasaskan AI seperti AI Best Face, AI Creative Camera, AI Erase, AI Magic Move, dan AI Image Expander.
Dari sudut perisian, vivo V80 menjalankan sistem operasi OriginOS 7 dengan jaminan kelancaran penggunaan sehingga 72 bulan serta sokongan kemas kini keselamatan tahunan selama enam tahun. Menariknya, ciri vivo Office Kit pada sistem ini membolehkan sambungan rentas peranti termasuk dengan ekosistem Apple, seperti pencerminan skrin ke iPad, penyegerakan notifikasi dan data kesihatan dengan Apple Watch, serta sokongan Spatial Audio untuk AirPods.

Ciri lain yang turut dibawakan termasuklah pembesar suara stereo, Gaming Hypersense Audio, Signal Boost Engine, serta alat produktiviti AI seperti Snap Note dan AI Recorder.
Secara keseluruhannya, Vivo V80 membawakan beberapa naik tarafseperti bateri lebih besar 7,200mAh, skrin 144Hz lebih pantas, rekaan baharu, serta perisian OriginOS 7 baharu, namun hadir dengan tanda harga permulaan yang lebih tinggi iaitu RM2,599 (RM2,399 selepas rebat) berbanding RM1,999 pada generasi sebelumnya.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk rasmi Vivo V80.




