Vivo X Fold 5 Dilancarkan – Snapdragon 8 Gen 3, Bateri 6000mAh Dan Menyokong Apple Watch

TechnologyDigital
26 Jun 2025 • 12:07 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Vivo secara rasmi telah melancarkan model terkini X Fold 5 di pasaran China. Peranti ini dikategorikan sebagai telefon boleh lipat bersaiz besar paling ringan setakat ini dengan berat sekitar 217 gram.

image is not available

Ia hadir dengan paparan utama jenis AMOLED bersaiz 8.03 inci, menyokong resolusi 2K+ (2480 × 2200 piksel), kadar segar semula 120Hz serta tahap kecerahan puncak sehingga 4500 nits. Di samping itu, peranti ini turut menampilkan skrin sekunder berukuran 6.53 inci yang menawarkan spesifikasi dan ciri yang sepadan dengan skrin utamanya.

image is not available

Menambah nilai premium, kedua-dua paparan menyokong teknologi HDR 10+, Dolby Vision dan PWM frekuensi tinggi untuk pengalaman visual yang lebih imersif. Engsel peranti ini turut direka semula menggunakan gabungan gentian karbon dan keluli bertekanan tinggi untuk ebih kukuh tanpa menjejaskan berat keseluruhan.

image is not available

Seterusnya, peranti ini dikuasai oleh cip Snapdragon 8 Gen 3 bersama memori sehingga 16GB RAM LPDDR5X serta storan dalaman 1TB UFS 4.0. Ia turut dilengkapi sistem antena bersama engsel yang direka semula bagi meningkatkan kekuatan isyarat dan memastikan sambungan rangkaian yang lebih stabil merentasi pelbagai jalur frekuensi.

image is not available

Antara ciri menarik lain yang ditawarkan ialah fungsi Atomic Workbench yang membolehkan sehingga lima aplikasi dijalankan serentak dalam paparan skrin belah. Ia juga lengkap dengan sokongan ciri seret dan lepas untuk pengalaman multitugas yang lebih lancar. Menariknya, peranti juga menyokong integrasi rentas ekosistem dengan peranti Apple seperti AirPods, Apple Watch, dan Mac di mana sesuatu yang jarang ditemui dalam peranti Android.

image is not available

Sistem kamera belakangnya menampilkan tetapan tri-sensor 50MP, termasuk lensa utama Sony IMX921 dengan OIS, kamera ultra lebar, serta lensa periskop yang menyokong zum optik 3x dan zum digital sehingga 100x. Untuk swafoto, kamera hadapan 20MP disediakan pada kedua-dua skrin.

image is not available

Peranti ini turut dilengkapi dengan bateri Blue Ocean 6,000mAh yang menggunakan teknologi anod silikon generasi keempat serta bateri separa pepejal generasi kedua. Ia menyokong pengecasan pantas berwayar 80W, nirwayar 40W serta pengecasan berbalik untuk peranti lain. Selain itu, peranti melepasi penarafan IPX8, IPX9 dan IPX9+ yang menjadikannya tahan terhadap debu halus serta semburan air bertekanan tinggi.

Harga jualan Vivo X Fold5 di China adalah seperti di bawah.

Vivo X Fold5 (12/256 GB) – RMB 7000 (~RM 4125)
Vivo X Fold5 (12/512 GB) – RMB 8000 (~RM 4710)
Vivo X Fold5 (15/512 GB) – RMB 8500 (~RM 5004)
Vivo X Fold5 (16/1000 GB) – RMB 9500 (~RM 5593)