Vivy Yusof & suami didakwa pecah amanah 8 juta, ini kronologi apa yang berlaku

LocalPolitics
4 Dec 2024 • 5:00 PM MYT
LifestyleAsia MY
LifestyleAsia MY

Your access to the good life in Malaysia

image is not available

Bulan lalu Malaysia telah digemparkan dengan isu pengasas FashionValet, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar yang didakwa telah melakukan kesalahan pecah amanah membabitkan kerugian RM43.9 juta pelaburan Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Ekoran dari isu tersebut, dan selepas siasatan dari SPRM, akhirnya Datin Vivy Yusof dan suaminya telah didakwa di mahkamah hari ini atas kes pecah amanah membabitkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta, enam tahun lalu.

Walau bagaimanapun, Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.

Menurut laporan dari Berita Harian, mereka didakwa dengan niat bersama sebagai ejen iaitu Pengarah FashionValet Sdn Bhd yang diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB, telah melakukan jenayah pecah amanah dengan membuat pembayaran berjumlah RM8 juta dari akaun bank milik Fashion Valet ke syarikat 30 Maple Sdn Bhd, tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarahnya.

Pasangan itu dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang mana memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun serta dengan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Hakim, Rosli Ahmad membenarkan Vivy dan Fadza diikat jamin RM100,000 setiap seoranga dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasangan suami isteri itu perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur pada minggu pertama setiap bulan.

“Kedua-dua tertuduh juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dihalang mengganggu serta mempengaruhi saksi dalam kes ini sehingga kes selesai,” kata hakim itu yang turut menetapkan 22 Januari depan untuk sebutan kes.

Menerusi perkongsian yang dimuat naik di Instagram miliknya, Vivy  Yusof dilihat menjawab pertanyaan netizen yang mempersoalkan keadaan terkini syarikat FashionValet.

“Banyak yang saya ingin katakan. Saya akan ceritakan, dalam masa yang sesuai. Percayalah, saya ada banyak untuk dikatakan kepada orang ramai.”

Terdahulu, Vivy dan Fadza memohon maaf susulan kontroversi berkenaan yang menjejaskan PNB dan Khazanah menerusi hantaran di Instagram.

Apa yang berlaku?

image is not available
Kredit: IG Vivy Yusof

Buat makluman, Khazanah dan PNB telah melaburkan sejumlah RM47 juta dalam FashionValet pada tahun 2018 sebagai usaha untuk menyokong pertumbuhan sektor e-dagang Malaysia.

Pelaburan ini bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan FV sebagai salah satu pelopor dalam industri fesyen dalam talian.

Dengan pegangan saham yang signifikan—RM27 juta dari Khazanah dan RM20 juta dari PNB—kedua-dua institusi ini berhasrat untuk memanfaatkan potensi pasaran yang berkembang.

Namun, datangnya pandemik Covid-19 pada tahun 2020 telah memberi tamparan hebat kepada banyak perniagaan, termasuk FashionValet.

MOF mengesahkan bahawa pandemik tersebut mengakibatkan penurunan drastik dalam pendapatan syarikat, memaksa FV untuk mencari sumber modal baharu agar dapat terus beroperasi.

Dalam situasi ini, keputusan untuk menjual pegangan saham kepada NXBT Partners muncul sebagai satu pilihan yang strategik.

Membuat keputusan untuk menarik diri

Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, telah membuat keputusan untuk melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang FashionValet Sdn Bhd.

Dalam satu kenyataan bersama di Instagram, mereka menyatakan bahawa langkah ini diambil berikutan isu terkini mengenai penjualan pegangan saham Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Khazanah Nasional Bhd dalam syarikat tersebut.

Mereka ingin memastikan bahawa isu yang sedang berlaku tidak memberi kesan buruk kepada syarikat yang kini sedang berusaha untuk bangkit semula.

Vivy Yusof dan suaminya mengakui tanggungjawab penuh atas kegagalan pelaburan dan mengakui bahawa mereka tidak mempunyai pelan yang mencukupi untuk menghadapi cabaran yang timbul semasa pengembangan perniagaan.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa PNB dan Khazanah mengalami kerugian sebanyak RM43.9 juta selepas menjual pegangan mereka dalam FashionValet dengan nilai RM3.1 juta.

Pelaburan yang dibuat pada tahun 2018 berjumlah RM27 juta oleh Khazanah dan RM20 juta oleh PNB bertujuan untuk menyokong pertumbuhan syarikat Bumiputera yang sedang pesat berkembang.

Namun, pandemik Covid-19 telah memberikan impak besar kepada perniagaan FashionValet, yang menyebabkan keperluan untuk mendapatkan modal baharu menjadi kritikal.

Penjualan ini dilihat sebagai langkah keluar yang bertanggungjawab, dengan harapan agar pelabur strategik baru dapat membantu mengatasi keperluan pembiayaan syarikat dan memulihkan perniagaan dalam persekitaran industri yang mencabar.

Kronologi siasatan

image is not available
Kredit: IG Vivy Yusof

FashionValet Sdn Bhd bukanlah syarikat asing kepada ramai rakyat Malaysia terutama susulan penampilan pengasasnya Vivy Yusof seperti selebriti yang ramai pengikut di media sosial.

Ditubuhkan pada tahun 2010 oleh Vivy Yusof dan suaminya, Fadzarudin Anuar, FashionValet bermula sebagai antara platform e-dagang pertama di Malaysia yang memberi tumpuan kepada fesyen sederhana dan pereka tempatan.

Ini kronologi kes pecah amanah yang membabitkan pasangan pengasas Fashion Valet, Datin Vivy Yusof dan Fadzarudin Anuar:

29 Oktober:

Kementerian Kewangan (MoF) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, memaklumkan Khazanah dan PNB memperoleh RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam platform e-dagang fesyen, FashionValet kepada syarikat Bumiputera, NXBT Partners pada 2023, berbanding pelaburan RM47 juta yang dibuat Khazanah dan PNB pada 2018, masing-masing RM27 dan RM20 juta untuk pegangan minoriti dalam FashionValet.

31 Oktober:

Jurucakap kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil, keluar kenyataan Khazanah, PNB dan FashionValet perlu beri penjelasan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam FashionValet.

1 November:

-Khazanah dan PNB membuat kenyataan berasingan perjelas pelaburan FashionValet.

-Vivy dan Fadzaruddin memohon maaf susulan kontroversi berkenaan yang menjejaskan PNB dan Khazanah, memaklumkan akan menarik diri dari Fashion Valet.

2 November:

-Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan isu kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta oleh PNB dan Khazanah dalam FashionValet, berada dalam radar siasatan mereka.

-Datuk Seri Anwar Ibrahim arah Khazanah melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dalam FashionValet.

3 November:

Seorang Ahli Lembaga Pengarah FashionValet menafikan dakwaan mengenai kes berkenaan yang kini dalam siasatan SPRM.

4 November:

SPRM serbu MoF, Khazanah, PNB, serta ibu pejabat FashionValet untuk membantu siasatan kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta.

5 November:

Vivy Yusof dan suami memberi keterangan di pejabat SPRM.

6 November:

-Hari kedua, SPRM menyambung proses merekod keterangan pengasas platform e-dagang, Vivy dan suami di pejabat SPRM.

-Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) maklumkan akan bermesyuarat bagi menentukan sama ada wakil FashionValet, PNB dan Khazanah perlu dipanggil susulan isu kerugian pelaburan Khazanah dan PNB.

-SPRM geledah kediaman pasangan suami isteri pengasas dagang, FashionValet, di Mont Kiara, Kuala Lumpur dan sita pelbagai barangan termasuk 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.

7 November:

-Vivy dan Fadzaruddin hadir untuk kali ketiga ke Ibu Pejabat SPRM untuk direkod keterangan.

– SPRM beku 11 akaun bank persendirian dan enam akaun syarikat milik Vivy dan Fadzaruddin bernilai kira-kira RM1.1 juta bagi membantu siasatan.

-SPRM maklumkan merakam beberapa keterangan individu penting merangkumi pegawai kanan Khazanah, PNB, Fashion Valet, akauntan, penilai syarikat dan pempengaruh.

16 November:

Akaun syarikat 30 Maple Sdn Bhd (30 Maple) yang mengeluarkan produk tudung jenama mewah milik pasangan usahawan, Datin Vivy Yusof dan Datuk Fadzaruddin Shah Anuar dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata beberapa akaun syarikat sudah dibekukan SPRM termasuk milik 30 Maple.

“SPRM membekukan beberapa akaun syarikat (yang dikaitkan dengan FashionValet Sdn Bhd) dan akaun 30 Maple juga dibekukan,”

3 Disember:

Selepas disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, kepada media semalam, Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada esok hari.

Kedua-dua mereka akan didakwa berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam FashionValet, berjumlah RM43.9 juta.

SPRM menahan pasangan berkenaan tengah hari tadi semalam dan diberikan jaminan untuk hadir ke mahkamah, pada esok hari.

Terdahulu, SPRM mengesan terdapat beberapa transaksi mencurigakan dalam siasatan berhubung kerugian pelaburan dalam syarikat e-dagang berkenaan. Transaksi mencurigakan itu dikesan sejak tahun 2018 hingga tahun lalu.

SPRM dilaporkan turut merampas kira-kira 60 kotak mengandungi pelbagai dokumen daripada FashionValet, Khazanah dan PNB bagi membantu siasatan.

5 Disember: 

-Datin Vivy Yusof dan suaminya telah didakwa di mahkamah hari ini atas kes pecah amanah membabitkan dana pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) berjumlah RM8 juta, enam tahun lalu.

-Walau bagaimanapun, Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof, 37, dan Fadzarudin, 36, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rosli Ahmad.

-Pasangan ingin dibenarkan diikat jamin RM100,000 seorang sehingga sebutan kes seterusnya pada 22 Januari 2025.

Harap segalanya dipermudahkan dan moga segala persoalan terjawab.

Sumber: Berita Harian, NST

Foto: Instagram Vivy Yusof


Note : The information in this article is accurate as of the date of publication.