VYBE buka ruang baharu satukan teknologi dan industri kreatif

LocalTechnology
21 Sep 2026 • 8:22 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: VYBE buka ruang baharu satukan teknologi dan industri kreatif

PETALING JAYA: VYBE Malaysia membuka lembaran baharu dalam usaha merapatkan hubungan antara teknologi, industri filem, pencipta kandungan dan jenama menerusi pelancaran rasminya pada acara Xing Yu Grand Honours × The Shining Award 2026 di D Theatre, Hextar World, di sini baru-baru ini.

Majlis yang diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia itu turut diisi dengan pemeteraian beberapa kerjasama strategik, penyampaian pengiktirafan kepada pemain industri serta pelancaran filem cereka terbaharu, The Day We Start Again.

Pengasas Xing Yu Group dan VYBE, Dr. Kervis Soo berkata, penubuhan platform itu bertujuan menghimpunkan pencipta kandungan, jenama, teknologi dan projek kreatif dalam sebuah ekosistem yang saling melengkapi.

“VYBE berharap dapat menghubungkan lebih banyak sumber dan bakat supaya wujud ruang kerjasama yang lebih luas dalam satu ekosistem,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Pengerusi VYBE dan Xing Yu Group, Datuk Kamil Othman turut berkongsi pandangan pada acara berkenaan yang menghimpunkan wakil daripada sektor korporat, pendidikan, teknologi, perfileman, media serta komuniti pencipta.

Konsep AI Creator Operating System yang menjadi antara teras VYBE Malaysia turut diperkenalkan kepada tetamu, dengan platform berkenaan menyediakan ruang untuk penerbitan kandungan, penglibatan pencipta, kolaborasi bersama jenama, projek filem dan penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Acara turut dimeriahkan dengan penyampaian The Shining Award 2026, TNCSEA Shining Business Award 2026 dan Xing Yu Grand Honours 2026 sebagai penghargaan kepada tokoh serta penggiat industri dalam bidang perniagaan, kreatif, hiburan, produksi, teknologi dan media.

Antara nama yang menerima pengiktirafan TNCSEA Shining Business Award 2026 ialah Thomas, Datuk Seri Dr Tan Fong Fook, Datuk Seri Kenta Goh, Clifton Ko Chi-Sum, Yuan Teng, Henn, LOMO Pictures dan Qi AI.

Image from: VYBE buka ruang baharu satukan teknologi dan industri kreatif
Kervis (empat dari kanan) pada majlis pelancaran VYBE Malaysia di Petaling Jaya.

Dalam perkembangan sama, The Day We Start Again turut diperkenalkan secara rasmi sebagai filem cereka ke-11 arahan Ryon Lee yang mengetengahkan perjalanan individu berdepan impian, cabaran dan usaha membina semula kehidupan.

Filem berkenaan menampilkan Olio Tan, Yuan Teng, Charlene An dan Henn, manakala tugas produksi diterajui Dr. Kervis sebagai penerbit bersama Ryon Lee sebagai pengarah, DY Loh sebagai pengarah eksekutif, Aron Koh sebagai penerbit penyelia dan Eelin Ooi sebagai penyelaras.

Menurut Ryon, karya berkenaan tidak hanya berkisar mengenai impian dalam bidang perfileman, malah membawa mesej mengenai keberanian untuk kembali bangkit selepas melalui pengalaman sukar.

“Saya berharap penonton dapat menemukan sesuatu daripada watak dan jalan cerita ini, terutama apabila mereka sendiri berdepan satu tahap kehidupan yang memerlukan mereka bermula semula,” katanya.

Charlene pula melihat tema untuk memulakan semula kehidupan sebagai sesuatu yang dekat dengan pengalaman manusia, sementara Yuan Teng yang melakonkan watak Ah Fai teruja untuk memperkenalkan karakter itu kepada penonton.

Eelin berkata, penghasilan filem tersebut melalui tempoh persiapan lebih enam bulan dan pada masa sama memberi peluang kepada bakat baharu untuk terlibat dalam projek filem, drama pendek serta penghasilan kandungan lain pada masa akan datang. – UTUSAN

The post VYBE buka ruang baharu satukan teknologi dan industri kreatif appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved