Liga Malaysia mungkin berlangsung dalam stadium kosong

4 Mar 2020 • 3:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) setakat ini tidak berhasrat menunda saingan Liga Malaysia (Liga-M) susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan menangguhkan perjalanan liga bukan tugas mudah kerana ia melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.

Namun, beliau berkata, MFL, yang juga badan pentadbir Liga-M, mungkin mengambil pendekatan membenarkan perlawanan berlangsung tanpa penyokong sebagai langkah awal mencegah penularan wabak itu.

"MFL sentiasa memantau perkembangan wabak Covid-19 dan mempunyai persediaan tertentu. MFL akan bertindak mengikut perkembangan terkini yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Di Malaysia, wabak ini masih terkawal jadi tiada keperluan untuk menangguhkan liga setakat ini. Untuk menangguhkan liga ia bukan mudah, mungkin pasukan akan bermain di stadium kosong terlebih dahulu sebagai permulaan," katanya, ketika dihubungi, Bernama, hari ini.

Semalam, Persatuan Bola Sepak (FA) Thailand mengarahkan semua aksi Liga Thailand dalam Divisyen 1 hingga 4 ditangguhkan bermula 3 Mac hingga 17 April depan dalam usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Perkembangan itu menyaksikan Thailand mengikut langkah pencegahan diambil Jepun yang turut bertindak menangguhkan saingan Liga J sehingga 15 Mac depan.

Sebelum ini, China dan Korea Selatan antara dua negara pertama mengambil keputusan menunda saingan liga domestik negara masing-masing susulan wabak itu sementara Vietnam mengambil langkah mengadakan perlawanan tanpa penyokong.

Dalam pada itu, Ab Ghani berkata MFL telah mengarahkan setiap pasukan bertanding memberi penerangan kepada penyokong mengenai langkah pencegahan Covid-19 termasuk pemakaian topeng penutup hidung dan mulut ketika menghadiri perlawanan.

“Sebelum liga bermula kita sudah memaklumkan kepada setiap pasukan tentang persediaan untuk mencegah penularan wabak Covid-19 supaya mereka bersedia dan penyokong berada dalam keadaan yang selamat,” jelas Ab Ghani. - Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved