Waad Nasional pastikan keutamaan negeri diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 - PM

LocalPolitics
13 Oct 2026 • 8:04 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Waad Nasional pastikan keutamaan negeri diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 - PM

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu mengukuhkan kerjasama erat menerusi kerangka Waad Nasional, bagi memastikan pembangunan negara yang lebih mampan, adil serta seimbang bagi menjelmakan aspek kesejahteraan yang lebih terangkum, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perkara itu menjadi tumpuan pada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri ke-150 dipengerusikannya hari ini, yang membincangkan Belanjawan MADANI 2027, termasuk keperluan Waad atau covenant yang diusulkan dalam pembentangan belanjawan itu sebagai wahana memperkukuh kerjasama antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri.

“Dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global, unjuran pertumbuhan ekonomi negara dan persoalan turun naik harga minyak dunia, belanjawan ini perlu terus membela rakyat, menangani kos sara hidup serta mengambil kira keutamaan setiap negeri, termasuk aspek keselamatan sempadan, terutamanya di Sabah dan Sarawak,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penyelarasan perancangan dan peruntukan berdasarkan keperluan sebenar di lapangan, penting bagi memastikan mutu penyampaian perkhidmatan awam, pembangunan infrastruktur, pengukuhan ekonomi negeri dan pelaksanaan projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat diberi keutamaan.

Selain aspek pembangunan ekonomi, Perdana Menteri berkata mesyuarat berkenaan turut menyentuh kepentingan kriptografi pascakuantum, dalam memperkukuh perlindungan data dan sistem digital negara bagi mendepani perkembangan teknologi serta ancaman keselamatan siber pada masa hadapan.

Sementara itu, menyentuh kebimbangan mengenai isu jerebu rentas sempadan, Anwar berkata Indonesia telah diminta supaya mengambil tindakan segera dan berkesan, bagi menangani aktiviti pembakaran terbuka.

Beliau berkata langkah tegas itu penting, memandangkan masalah jerebu bukan sahaja menjejaskan kesihatan rakyat, khususnya murid dan pelajar, malah turut mengganggu kelancaran sesi persekolahan.

Untuk rekod, setakat 3 petang tadi, sebanyak 22 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat yang menyaksikan semua sekolah di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup pada esok (14 Okt), susulan situasi semasa jerebu itu.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata penutupan itu turut melibatkan sekolah di beberapa daerah di Selangor, Pahang, Sabah dan Sarawak manakala sekolah di semua negeri dan daerah lain akan beroperasi seperti biasa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved