Wajah baharu Stadium Shah Alam sehebat Anfield?

18 Jul 2022 • 8:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

MERAK Jalanan rasa teruja apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam satu sidang media di Shah Alam baru-baru ini menyatakan Stadium Shah Alam yang hampir berusia 30 tahun bakal berwajah baharu.

Lebih menambah keterujaan apabila beliau memberitahu wajah baharu Stadium Shah Alam itu lebih baik daripada Anfield - stadium rasmi kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool.

Amirudin juga ada menyebut projek pembinaan Stadium Shah Alam itu diinspirasikan berdasarkan Stadium Ajax Amsterdam dengan kapasiti sekitar 60,000 hingga 70,000 penonton.

Cuma Merak Jalanan masih tertanya-tanya, apa akan jadi kepada struktur asal Stadium Shah Alam? Adakah ia akan dirobohkan?

Mengikut Amirudin, kerajaan negeri Selangor akan berbincang dulu dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) untuk melaksanakan pembangunan baharu Stadium Shah Alam dan fasiliti sukan di sekitarnya.

Malah, katanya projek itu bakal dilaksanakan secara perkongsian awam-swasta manakala MRCB bakal menanggung kos pembangunan itu tanpa membabitkan dana awam selain MRCB bakal dianugerahkan pertukaran tanah kawasan sekitarnya untuk dibangunkan.

Jika ikut perancangan, projek yang menelan belanja sekitar RM787 juta itu akan bermula seawal tahun depan. Jangkaan siap projek itu pula pada tahun 2026 seiring dengan pembinaan stesen Aliran Transit Ringan (LRT) 3 yang berdekatan dengan kompleks berkenaan.

Apa sahaja perancangan kerajaan negeri Selangor, Merak Jalanan percaya masih ramai khususnya penyokong bola sepak Selangor berharap Stadium Shah Alam yang dibuka secara rasmi pada 16 Julai 1994 tidak dirobohkan.

Bak kata seorang rakan Merak Jalanan, stadium keramat itu menjadi kebanggaan rakyat Selangor khususnya penyokong Gergasi Merah. Jika dirobohkan, maka hilanglah ikon warisan sejarah pembangunan Shah Alam.