Wajib Pakai Tali Pinggang Dalam Bas Sebab Mahu Elak Kematian

LocalPolitics
13 Jul 2025 • 10:15 PM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar dalam bas ekspres dan persiaran bukan sekadar peraturan sebaliknya bagi mengurangkan risiko lebih serius ketika berlaku kemalangan.

Itu kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Menurutnya, punca kecederaan parah dan kemalangan maut membabitkan kedua-dua jenis bas berkenaan adalah kerana kegagalan memakai tali pinggang keledar.

"Apabila berlaku kemalangan, kadang-kadang penumpang itu tercampak keluar kerana tak pakai tali pinggang. Ini antara punca yang menyebabkan kemalangan maut ataupun kematian dalam kemalangan bas.

"Jadi mesti dilaksanakan untuk penumpang bas, malah penumpang kereta pun peraturan itu sudah ada. Peraturan sedia ada memang mewajibkan pemakaian tali pinggang untuk penumpang di belakang," katanya.

Sebelum ini Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadly Ramli memaklumkan pihaknya akan menjalankan operasi pemantauan pemakaian tali pinggang keledar di dalam bas ekspres dan persiaran dengan cara anggota mereka menyamar sebagai penumpang.

Operasi bertujuan memastikan penumpang dan pemandu bas mematuhi peraturan pemakaian tali pinggang keledar demi keselamatan.

image is not available

Loke berkata anggota penguat kuasa JPJ sentiasa meningkatkan taktik penyamaran di stesen bas terpilih untuk memastikan peraturan itu dipatuhi.

"Pendekatan yang kita gunakan pada peringkat ini ialah banyak menggunakan samaran sebab kita nak lihat betul ke tidak pengusaha bas atau pemandu ini patuh kepada peraturan.

"Pemandu bas terbabit perlu bertanggungjawab dengan memberi peringatan kepada penumpang supaya memakai tali pinggang keledar sebelum memulakan sesuatu perjalanan. Tindakan ini bukan kerana takut kena saman sahaja tetapi untuk kebaikan dan keselamatan mereka," katanya.

Loke turut menegaskan peraturan pemakaian tali pinggang keledar ketika menaiki bas ekspres atau persiaran dan kenderaan lain adalah seperti juga peraturan yang dikenakan ketika menaiki pesawat penerbangan.

"Mengapa kalau penumpang ambil dalam sektor penerbangan semua orang terima (peraturan pemakaian tali pinggang keledar), tapi mengapa ambil bas tak boleh terima?" katanya