
SUBANG JAYA, 13 APRIL: Wakil rakyat Kota Kemuning menggesa projek mitigasi banjir diperhebat dan dipercepat bagi mengelak bencana tersebut berulang.
Menurut S Preakas, gesaan itu menuntut perhatian dan kerjasama semua pihak kerana setiap kali banjir berlaku menjejaskan ribuan mangsa di kawasan itu.
“Sekarang sudah pulih, banjir sudah surut. Mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) pun sudah pulang, cuma yang tidak sihat ada yang masih tinggal.
“Saya akur tindakan diambil Kerajaan Negeri, tapi saya percaya ia mungkin tidak mencukupi. Kita harap projek mitigasi banjir dapat dipercepat dan dipertingkatkan.
“Saya tidak mahu penduduk di kawasan saya hadapi perkara ini berulang-ulang. Kita perlu perhatian dan kerjasama semua pihak. Penduduk pun kena kerjasama, jangan buang sampah (sewenangnya),” katanya ditemui hari ini.

Jumaat lalu, beberapa daerah di Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi sekitar Puchong, Shah Alam, Klang dan Hulu Langat.
EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berkata insiden banjir yang melanda, susulan hujan lebat yang bertembung dengan febomena air pasang besar.
Mohd Najwan turut menasihatkan penduduk yang terjejas banjir segera ke PPS sekiranya diarahkan, bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
The post Wakil rakyat Kota Kemuning gesa projek tangani bah dipercepat appeared first on Selangorkini.



