Wakil Rakyat PH Di Negeri BN Akur Jika PRU-15 Tahun Ini

Politics
8 Oct 2022 • 8:59 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Young Syefura berkata pihaknya sudah bersiap siaga dalam menghadapi PRU-15, termasuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) di negeri pentadbiran Barisan Nasional (BN) terpaksa akur dengan keputusan kerajaannya jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini.

Timbalan Ketua Pemuda DAP, Young Syefura Othman berkata, wakil rakyat pembangkang perlu mengikuti segala peraturan negeri berkenaan, tanpa mempunyai apa-apa pilihan.

“Sebagai wakil rakyat di negeri BN, kita kena ikutlah sebab kita pembangkang. Kita tidak boleh buat apa-apa sebab kita bukan kerajaan negeri. 

“Kalau kita (PH) adalah kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor, kita tidak akan bubar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini. 

Lantaran itu, Ketua Angkatan Muda Harapan Pahang itu berkata, pihaknya sudah bersiap siaga dalam menghadapi PRU-15, termasuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

“Sebab itulah kami sebagai pembangkang di negeri BN sedang bersiap siaga dari segi program parti, termasuk bersedia menghadapi banjir,” katanya. 

image is not available
Young Syefura Othman

Dalam pada itu, Young Syefura berkata, walaupun tiga negeri PH akan mengadakan PRU-15 pada tahun depan, pemimpinnya tetap perlu menjalankan aktiviti seperti itu untuk mendekati rakyat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari memaklumkan, ia memandangkan kini adalah masa sesuai untuk pemimpin berjumpa rakyat bagi menerangkan isu nasional, termasuk mengenai kerajaan negeri.

“Kalau hendak kata kita boikot, kita bukan boikot, tetapi kita sebenarnya hendak menunjukkan bahawa daripada pihak PH, kami sangat mementingkan kebajikan dan keselamatan rakyat.

“Sebab itu kami tidak mahu PRU-15 diadakan dalam musim banjir. Kalau masih berlaku, kita sebagai ADUN pembangkang kena akur, sebab hendak atau tak hendak Parlimen dan DUN bubar juga.

“Jadi, terserah kepada kerajaan negeri sama ada akan bubar bersama kerajaan PH atau pun tidak,” katanya.

Isu pembubaran Parlimen hangat diperkatakan ketika ini susulan UMNO dilihat mahukan supaya PRU-15 diadakan segera, bagi memberi mandat kepada rakyat memilih parti dirasakan paling layak mentadbir negara. - Getaran, 8 Oktober 2022.