Walaupun Kutipan ‘Suam-Suam Kuku’, Penerbit Yakin Keluang Man Bukan Satu Kegagalan

Entertainment
21 Jun 2025 • 11:55 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Meskipun hanya meraih kutipan sekitar RM3.7 juta selepas 21 hari tayangan, pihak Astro Shaw masih kekal positif terhadap masa depan filem adiwira tempatan, Keluang Man.

Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, mengakui bahawa prestasi filem tersebut mungkin tidak sehebat yang diharapkan, namun Keluang Man tampil dengan pendekatan berani dan segar yang belum pernah dicuba dalam industri filem Malaysia.

“Sebagai filem pasca-moden pertama di Malaysia, Keluang Man membawa banyak elemen baharu.

“Ia memerlukan keberanian bukan sahaja dari segi penghasilan, malah dalam pemasaran juga,” katanya, lapor Harian Metro.

Tambah Raja Jastina, usaha ini memberi ruang kepada Astro Shaw untuk menilai semula makna kejayaan sesebuah filem tempatan.

“Pendekatan ini membuka jalan untuk kami memperkenalkan cara baharu dalam menilai kejayaan filem. Dan kami belajar banyak perkara sepanjang proses ini.

“Keluang Man hanyalah permulaan. Kami tidak menilai kejayaan filem ini berdasarkan kutipan tiket semata-mata, tetapi juga dari segi pengaruh dan potensi jangka panjangnya,” katanya.

image is not available
Poster filem Keluang Man yang ditayangkan pada bulan Mei lalu

Menurut beliau lagi, pendapatan turut dijana melalui pelbagai saluran, termasuk kolaborasi jenama dan penjualan barangan rasmi yang dimulakan lebih awal sebelum filem ditayangkan.

“Kami kini tidak terlalu bergantung kepada kutipan tiket semata-mata. Ini memberi kami keberanian untuk bereksperimen dan mencuba sesuatu yang baharu dalam pasaran,” katanya lagi.

Walaupun kutipan kurang memberangsangkan, Astro Shaw meyakinkan peminat bahawa mereka tidak akan berhenti setakat ini.

Mereka tetap dengan perancangan untuk membangunkan Keluang Man Universe, termasuk filem Baling yang mengangkat adiwira dari Kedah serta Keluang Man: The Next Chapter, sebuah siri Astro Originals yang bakal menyambung perjalanan dunia sinematik ini.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.