
Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi menolak permohonan blogger kontroversi, Wan Azri Wan Deris, menggantung pembayaran jumlah penghakiman RM280,000 kepada bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng dan anak lelakinya dalam kes saman fitnah.
Hakim Roslan Mat Nor menolak permohonan Wan Azri sambil menyatakan dia gagal menunjukkan sebarang keadaan khas mewajarkan perintah penggantungan diberikan.
“Defendan (Wan Azri) mendakwa dia akan berjaya dalam rayuannya dan rayuan tersebut akan menjadi akademik, sekiranya jumlah penghakiman itu dibayar sekarang.
“Dia kemudian menyatakan akan berdepan prosiding kebankrapan jika pihak plaintif menguatkuasakan penghakiman tersebut. Alasan-alasan ini tidak membantu mahkamah dalam menggunakan budi bicaranya untuk membenarkan penggantungan,” katanya.
Mahkamah turut memerintahkan Wan Azri membayar kos RM5,000.
Pada Mei, Mahkamah Tinggi mendapati Wan Azri bertanggungjawab memfitnah keluarga Lim dalam hantaran di Facebook, bertarikh 14 Mac 2020.
Dalam hantaran berkenaan, dia mendakwa Clint Lim telah ditahan semasa cuba menyeludup RM2 juta ke Singapura, dan Guan Eng pergi ke republik itu untuk ‘menyelamatkannya’.
Wan Azri diperintahkan membayar ganti rugi RM200,000 kepada Guan Eng dan RM80,000 kepada anak lelakinya, bersama kos masing-masing RM30,000 dan RM10,000.
Peguam Simon Murali mewakili keluarga Lim, manakala Norfazilah Jaafar mewakili Wan Azri.
Simon kemudiannya memberitahu pemberita bahawa mereka belum memfailkan sebarang permohonan menguatkuasakan jumlah penghakiman tersebut terhadap Azri.






