
PETALING JAYA: Kerajaan Pahang akan terus memperkukuh pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dengan memperluas ruang, pertandingan dan peluang kepada anak negeri mengembangkan potensi serta menyerlahkan bakat masing-masing.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha itu penting bagi memastikan lebih ramai pemain tempatan mendapat peluang untuk mengasah bakat melalui pertandingan yang kompetitif.
Katanya, sambutan terhadap edisi sulung Liga Rakyat Pahang 1st Piala Al-Sultan Abdullah yang disertai 105 pasukan membabitkan kira-kira 2,600 pemain dari seluruh Pahang membuktikan terdapat permintaan dan minat yang tinggi terhadap platform pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.
“Tahniah kepada semua pihak yang menjayakan Liga Rakyat Pahang 1st. Terima kasih kepada seluruh rakyat Pahang yang memberikan sokongan terhadap liga ini.
“Insya-Allah, Kerajaan Pahang akan terus memperkukuh pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi dengan menyediakan lebih banyak ruang, pertandingan dan peluang kepada anak Pahang menyerlahkan bakat masing-masing, selaras dengan Aspirasi Pahang 1st,” katanya.
Liga yang bermula pada 6 Jun lalu itu melabuhkan tirai menerusi aksi final di Stadium Darul Makmur, di sini malam tadi, menyaksikan YPM FC menewaskan Majlis Daerah Raub (MDR) 2-1.
YPM FC membuka jaringan menerusi Wan Muhammad Akmal Hakim Wahab pada minit ke-13 sebelum Nasyrullah Mohd Zaki menggandakan kelebihan pada minit ke-40.
MDR kemudian merapatkan jurang menerusi Zaiful Zakwan Arnain pada minit ke-80, namun YPM FC mempertahankan kelebihan sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan itu membolehkan YPM FC membawa pulang wang tunai RM40,000, manakala MDR menerima RM20,000 sebagai naib juara.
Aksi final turut disaksikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal-UTUSAN
The post Pahang mahu perluas peluang bakat bola sepak akar umbi appeared first on Utusan Malaysia.






