Wan Mahussin Dipanggil Bukit Aman, Jadi Saksi Tuduhan Papagomo

LocalPolitics
1 Jul 2023 • 3:34 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo. - Gambar fail

KUALA LUMPUR – Aktivis politik, Wan Mahussin Wan Zin mengesahkan dipanggil Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman sebagai saksi kepada tuduhan dibuat Papagomo.

Katanya, ia susulan dakwaan Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri, kononnya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi menipu Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

image is not available
Wan Mahussin memuatnaik tangkap layar komunikasinya dengan seorang pegawai polis Bukit Aman mengenai kenyataan Papagomo.

Azri membuat tuduhan tersebut dalam program debat bersama Wan Mahussin yang disiarkan secara langsung menerusi media sosial dua hari lalu.

“Saya baru dihubungi pegawai Polis Bukit Aman untuk diambil keterangan terhadap kenyataan Azri yang mendakwa Zahid Hamidi menipu Agong semasa siaran live saya dan beliau.

“Saya dipanggil sebagai saksi. Terlajak perahu boleh berundur, terlajak benci kan jadi sayang,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. 

Azri yang berdepan penggantungan keahlian selama enam tahun oleh UMNO mendakwa, Zahid telah menipu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sehingga PH-BN berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan.

Dakwaan itu bagaimanapun disanggah oleh Wan Mahussin dalam perdebatan tersebut.

Tuduhan dilemparkan Azri mendorong Bukit Aman membuka kertas siasatan dan memanggil Wan Mahussin sebagai saksi.

Sebelum ini, Papagomo dalam hantaran di media sosial membuat pengumuman untuk kembali aktif dalam politik selepas digantung keahlian UMNO selama enam tahun sejak September 2021.

Nazar beliau sejak digantung untuk tidak memotong rambut dan jambang ‘selagi tidak mempunyai tugas rasmi iaitu berjuang demi agama, bangsa dan tanah air’ ditunaikan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memotong sedikit rambutnya pada bulan lalu. 

Serentak dengan itu Azri memberitahu, beliau kini telah menerima panggilan rasmi untuk berjuang demi agama, bangsa dan tanah air. - Getaran, 1 Julai 2023