
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, terus mengasak kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila mempersoalkan kesahihan mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang akan datang, susulan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Wan Saiful, yang dipecat daripada Bersatu tahun lalu, berkata beliau telah menghantar surat rasmi kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk memantau perjalanan mesyuarat itu bagi memastikan prosedur dipatuhi.
“Kalau dia sepatutnya tidak hadir tetapi masih hadir, maka akan timbul persoalan – adakah mesyuarat itu sah.
Mengesahkan peletakan jawatan pengerusi seharusnya menjadi agenda pertama mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang akan datang.
"Kalau Muhyiddin masih nak hadir (dan) apabila peletakan jawatannya disahkan (dalam mesyuarat itu), sebelum masuk agenda kedua Muhyiddin perlu keluar mesyuarat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas Ketua Penerangan PN itu turut membangkitkan isu konflik kepentingan sekiranya Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat, kerana agenda utama adalah menentukan pengerusi baharu gabungan tersebut.
Wan Saiful mendakwa kem Muhyiddin kelihatan bersungguh‑sungguh mahu bekas perdana menteri itu kekal berkuasa, dengan beberapa pertemuan diatur sejak beberapa hari lalu.
Beliau juga mengingatkan kemungkinan Muhyiddin mengubah pendirian mengenai peletakan jawatan, merujuk insiden pada November 2023 apabila Muhyiddin mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Bersatu, sebelum menarik balik keputusan itu atas permintaan isterinya, Noorainee Abdul Rahman.
Selain Muhyiddin, Wan Saiful turut menamakan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Azmin Ali, dan Naib Presiden, Datuk Radzi Jidin, sebagai individu yang tidak wajar menghadiri mesyuarat PN.
“Yang lebih baik ialah Timbalan Setiausaha Agung PN (Takiyuddin Hassan) mengeluarkan notis memanggil mesyuarat tanpa menjemput Azmin dan Radzi,” katanya.
Kontroversi kepimpinan PN tercetus selepas krisis pentadbiran kerajaan Perlis hujung tahun lalu, apabila lapan Adun – lima Bersatu dan tiga PAS – menarik sokongan terhadap Menteri Besar Shukri Ramli. Ketegangan itu hampir memecah gabungan, sebelum Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN pada 30 Disember, membuka laluan kepada PAS mengambil alih kepimpinan.
Pengumuman tersebut turut mencetuskan siri peletakan jawatan pemimpin Bersatu negeri termasuk Azmin di Selangor dan Ahmad Faizal Azumu di Perak. Namun, sebagai Presiden Bersatu, Muhyiddin masih berhak berada dalam Majlis Tertinggi PN. - 10 Januari, 2026
The post Wan Saiful persoal kesahihan mesyuarat PN selepas Muhyiddin letak jawatan appeared first on Scoop.
