Wani Faizun berhenti guru KAFA sebab nak bina rumah sendiri buat anak perempuan

LocalLifestyle
18 Feb 2026 • 10:02 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

SHAH ALAM – Kisah pempengaruh media sosial, Wani Faizun, yang membina rumah sendiri demi masa depan anak perempuannya terus mencuri perhatian selain beliau dinobatkan sebagai pemenang anugerah Digital Creator (Lifestyle) Tergempak 2025.

Anugerah tersebut diumumkan pada malam kemuncak Gempak Most Wanted Award 2025 yang berlangsung di Dewan MBSA, baru-baru ini.

Ketika menerima trofi kemenangan, Wani meluahkan rasa syukur atas sokongan yang diterima sepanjang perjalanan kariernya sebagai pencipta kandungan.

“Terima kasih Gempak Most Wanted kerana di sinilah saya banyak belajar tentang pengacaraan. Terima kasih kepada team Studio Sembang sebab beri kepercayaan kepada saya. Terima kasih juga kepada peminat saya yang mengundi,” ujar Wani di atas pentas.

Dalam kategori tersebut, Wani berjaya mengetepikan sembilan calon lain iaitu Ainee Suhaidi, Allyna Wong, Babaglowup, Bella Khan, Danish Mbekz, Fazli Halim, Hafiz Myra Travel, Khyerun dan Tcer Nana.

Sebelum aktif sepenuh masa sebagai pencipta kandungan, Wani pernah berkhidmat sebagai guru KAFA. Namun, beliau mengambil keputusan berhenti kira-kira setahun lalu kerana kekangan masa yang tidak fleksibel.

“Saya fokus pada konten dan dari situlah saya kumpul duit sikit-sikit untuk bina rumah,” katanya.

Rumah berkenaan dibina atas tanah yang dihadiahkan ibunya dan didedikasikan khas buat anak perempuannya yang kini berusia 12 tahun.

“Saya ibu tunggal. Kalau satu hari nanti saya tak ada, saya nak anak saya ada tempat untuk berteduh. Rumah itu memang untuk dia,” jelasnya.

Projek pembinaan rumah tersebut bermula pada Ogos 2021 namun terhenti hampir setahun akibat masalah kesihatan sebelum disambung semula pada Ogos 2022 dan siap sepenuhnya hujung tahun lalu. Keseluruhan proses mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan secara berperingkat.

Sebelum ini, Wani turut menjadi perhatian apabila video memaparkan KDPM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mencemar duli ke tapak pembinaan rumahnya meraih 4.2 juta tontonan.

Dalam kunjungan tersebut, Tengku Hassanal menyampaikan bantuan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta menyatakan hasrat membantu menyiapkan rumah berkenaan.

“Nanti kita siapkan rumah ini, saya hantar bantuan,” titah baginda seperti dikongsikan Wani.

Gabungan kisah ketabahan membina rumah sendiri dan kejayaan merangkul anugerah berprestij menjadikan Wani Faizun antara figura digital yang bukan sahaja berpengaruh, malah menginspirasikan ramai khususnya golongan wanita dan ibu tunggal di negara ini.

View Original Article