
PENYANYI kelahiran Sandakan, Wani Kayrie (gambar) bukan sahaja mahu mengembangkan kerjaya dalam bidang hiburan malah berhasrat melahirkan lebih ramai penari profesional menerusi akademi tariannya sendiri.
Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 26, berkata minat mendalam terhadap bidang tarian mendorongnya menubuhkan akademi itu pada Februari tahun lalu sebagai platform mencungkil dan mengembangkan bakat kanak-kanak serta golongan remaja.
Menurutnya akademi berkenaan bukan sekadar menyediakan latihan tarian secara profesional tetapi turut membuka peluang kepada peserta untuk menimba pengalaman menerusi persembahan pentas bersama penyanyi tempatan.
“Minat saya lebih kepada bidang perkhidmatan dan hiburan. Menerusi Wani Kayrie Entertainment, kami membuka akademi tarian untuk melatih anak-anak muda menjadi penari profesional termasuk penari latar.
“Apabila mereka sudah mencapai tahap profesional, saya akan mengambil mereka untuk mengiringi persembahan saya selain membuka peluang untuk mereka beraksi bersama penyanyi lain.
“Misi utama saya adalah melahirkan lebih ramai penari profesional yang berpeluang menyertai persembahan pentas berskala besar termasuk di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis perasmian butik jenama tempatan Bayu Somerset yang dimiliki individu berdarah Sabah di Imago baru-baru ini.
Menurut Wani antara faktor yang mendorong penubuhan akademi itu ialah keperluan menambah bilangan penari pelapis memandangkan industri hiburan tempatan masih banyak bergantung kepada kelompok penari sedia ada.
Katanya meskipun terdapat penari berpengalaman dalam industri, usaha mencungkil dan membentuk bakat baharu sejak usia muda perlu dipergiatkan bagi memastikan kesinambungan bidang berkenaan.
“Kalau diperhatikan penari dalam industri kita sering terdiri daripada individu sama. Saya mahu membantu mengembangkan lagi industri ini dengan melahirkan lebih ramai bakat baharu menerusi akademi sendiri.
“Setakat ini kami mempunyai lebih 20 penari tetap, dengan yang paling muda berusia sekitar enam tahun,” ujarnya.
Berkongsi perjalanan mengusahakan perniagaan itu, Wani berkata syarikat berkenaan yang dibangunkan bersama ibunya bermula secara kecil-kecilan sebelum menerima semakin banyak permintaan untuk menyediakan khidmat penari bagi pelbagai persembahan.
Wani tidak menafikan terpaksa menggunakan wang sendiri bagi menampung sebahagian keperluan operasi namun menganggapnya sebagai pelaburan jangka panjang untuk mengembangkan perniagaan.
Jelasnya kejayaan dalam bidang perniagaan tidak semestinya diukur berdasarkan keuntungan segera, sebaliknya memerlukan kesungguhan, kesabaran dan kesediaan untuk melabur.
“Kadangkala saya perlu menggunakan duit sendiri, tetapi bagi saya setiap permulaan memerlukan pelaburan. Saya tidak kisah mengeluarkan modal lebih untuk membangunkan syarikat sendiri.
“Walaupun bayaran yang diterima tidak begitu besar, pengalaman yang diperoleh penari juga penting. Ada antara mereka sanggup menyertai sesuatu persembahan kerana mahu menambah pengalaman,” katanya.
Mengulas kemungkinan mengembangkan perniagaan ke bidang lain, Wani berkata dirinya belum mempunyai perancangan sedemikian kerana mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada bidang yang diminatinya.
Beliau mengakui pernah mencuba perniagaan produk solekan dan tudung namun kedua-duanya tidak diteruskan kerana menyedari minatnya lebih menjurus kepada bidang hiburan.
“Bagi saya, berniaga memerlukan bakat dan minat. Kita tidak boleh hanya mengikut trend atau melihat kejayaan orang lain tanpa memahami cabaran yang mereka lalui.
“Saya lebih suka melakukan sesuatu yang saya mahir dan minati. Sebab itu, buat masa ini saya mahu fokus kepada perniagaan sendiri dalam bidang hiburan,” katanya.
Wani yang dilahirkan di Sandakan mula mencipta nama dalam industri muzik selepas menjuarai pertandingan realiti nyanyian Astro Ceria, Kamilah Bintang pada 2010.
Namanya semakin dikenali menerusi single sulung berjudul Jangan Jangan yang dilancarkan pada 2015 dan berjaya meraih lebih sejuta tontonan dalam tempoh dua bulan.


