
KERJASAMA antara platform iBidan dan Wanita Berdaya Selangor (WBS) membuka peluang lebih luas kepada golongan Hawa untuk membina kerjaya profesional dalam sektor penjagaan ibu, sekali gus memperkukuh peranan mereka dalam ekonomi penjagaan atau care economy.
Kerjasama itu dimeterai menerusi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) sempena Selangor International Care Expo (SICE) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.
Majlis pertukaran MoU itu melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif WBS, Siti Faridah Abdul Samad dan Pengasas iBidan, Shannon Eu sambil disaksikan oleh Exco Kerajaan Negeri Selangor, Anfaal Saari.
Menerusi kerjasama berkenaan, kedua-dua pihak berhasrat meneroka pelbagai inisiatif, merangkumi pendidikan komuniti, pembangunan kemahiran profesional, sokongan penjagaan ibu selepas bersalin serta peluang kerjaya untuk bidan.
Menurut Shannon, ekonomi penjagaan mempunyai potensi peluang pekerjaan yang besar kepada wanita, khususnya melalui pembangunan kemahiran dan pengiktirafan terhadap perkhidmatan penjagaan profesional.
“Kami mahu membantu lebih ramai wanita memanfaatkan kemahiran yang dimiliki untuk membina kerjaya lebih stabil, tanpa mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga.
“Kerjasama ini dilihat sebagai ruang untuk menghubungkan agenda pembangunan wanita dengan keperluan industri penjagaan, terutama dalam menyediakan peluang pekerjaan lebih tersusun dan fleksibel,” katanya kepada K-Wanita baru-baru ini.

Berbekalkan pengalaman hampir dua dekad dalam industri penjagaan ibu, iBidan kini mempunyai rangkaian lebih 500 orang bidan di Malaysia dan Singapura.
Platform itu menghubungkan bidan berpengalaman dengan pelanggan yang memerlukan perkhidmatan penjagaan ibu di rumah, selain menyediakan sistem tempahan, sokongan operasi dan peluang meningkatkan kemahiran.
Pendekatan itu membolehkan bidan menawarkan khidmat penjagaan berdasarkan kemahiran mereka tanpa perlu mengendalikan pusat perkhidmatan sendiri.
Tambahnya, dalam sektor yang banyak bergantung pada tenaga kerja wanita, peluang meningkatkan pendapatan melalui kemahiran penjagaan berpotensi membantu memperkukuh kedudukan ekonomi keluarga, di samping meningkatkan pengiktirafan terhadap profesion bidan.
Kepentingan peluang tersebut turut diketengahkan menerusi forum khas selama satu jam bertajuk Building Careers Changing Lives. – Real Stories from the Women Behind iBidan yang berlangsung sempena SICE 2026.
Forum tersebut menampilkan tiga bidan iaitu Norita Jawan Abdullah atau Bidan NJ, Siti Fatimah Abd Aziz (Bidan Eima) dan Amirah Ab Azis (Bidan Mira Azis) yang berkongsi perjalanan mereka mengatasi kesukaran hidup melalui bidang penjagaan ibu.
Norita yang pernah bekerja dalam sektor korporat berdepan kegagalan perniagaan dan kesempitan kewangan.
Dia menyaksikan pendapatannya meningkat daripada sekitar RM3,000 kepada RM7,000 hingga RM9,000 sebulan selepas menyertai iBidan.
Dia turut berjaya melangsaikan hutang RM20,000 dan membiayai pengajian anaknya di United Kingdom.
Bagi Eima pula, keputusan meninggalkan kerjaya sebagai penyelia Lembaga Hasil Dalam Negeri demi menjaga ibunya yang menghidap kanser payudara tahap empat membawa perubahan besar dalam kehidupannya.
Sementara itu, Mira yang sebelum ini memperoleh pendapatan tidak menentu, kini meraih purata sekitar RM4,000 dan pernah mencapai RM6,000 sebulan.
Kisah ketiga-tiga wanita itu memperlihatkan bagaimana peluang pekerjaan yang disokong sistem lebih tersusun mampu membantu golongan wanita meningkatkan pendapatan, membina keyakinan diri dan memperbaiki kehidupan keluarga.
Kerjasama iBidan dan WBS diharap menjadi titik permulaan kepada lebih banyak inisiatif bagi memperluas peluang kerjaya wanita, memperkukuh ekosistem penjagaan ibu dan membangunkan ekonomi penjagaan yang mampan.
Bagi iBidan, pemerkasaan wanita bukan sekadar soal pendapatan, malah merangkumi peluang membina kerjaya, meningkatkan keyakinan diri dan menyediakan masa depan lebih baik untuk keluarga.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan latar belakang syarikat itu, layari laman sesawang www.ibidan.com.my.
The post Usaha perkasa wanita melalui iBidan, WBS appeared first on Kosmo Online.






