
KAJANG – Polis menahan seorang wanita bukan warganegara berusia 24 tahun selepas memandu kereta secara cuai sehingga melanggar tiga buah motosikal, sebelum menyerang orang awam dengan sebilah pisau.
Dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah pusat beli-belah di sini, enam mangsa tempatan berusia antara 21 hingga 60 tahun turut disahkan mengalami kecederaan akibat serangan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner (ACP) Naazron Bin Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.58 pagi, memaklumkan seorang wanita telah memandu kereta secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan.
“Suspek kemudian keluar dari kenderaan dan menyerang orang awam yang berada di lokasi dengan pisau.
“Bagaimanapun, dengan bantuan orang awam, suspek berjaya ditahan sebelum diserahkan kepada polis,” katanya.
Jelas Naazron, dua mangsa yang cedera masih menerima rawatan di hospital manakala empat lagi menerima rawatan pesakit luar.
Kes terbabit turut mendatangkan kerosakan ke atas tiga motosikal akibat dilanggar.
Dalam pada itu, suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh, serta Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan. - Getaran, 15 Ogos 2025


