Tular satu video seorang wanita mendakwa dia telah ‘disidai’ oleh pemandu e-hailing yang tidak bertanggungjawab ketika memesan perkhidmatan tersebut.
Menurut pengadu yang dikenali sebagai Puteri Elyn berkata, dia menunggu hampir 20 minit dan pemandu terbabit langsung tidak datang di lokasinya.
Pada awalnya, Puteri menyangka pemandu berkenaan tersangkut dalam kesesakan jalan. Tetapi selepas lapan minit kemudian, pemandu masih belum memulakan perjalanannya ke lokasi.
“Kisahnya saya nak ambil kereta dari MRT di rumah rakan. Jadi saya nak naik pengangkutan e-hailing ini. Tetapi disidai hampir 20 minit.
“Bila tengok dalam peta, pemandu itu langsung tidak bergerak. Sudah tergerak di hati untuk batalkan pesanan. Alhamdulillah selepas membuat pembatalan, saya terus dapat pemandu e-hailing yang ni.
“Saya tak nak cancel awal sebab duit RM3 sudah ditolak dari kad. Apa pun, pemandu e-hailing nak cari duit biarlah halal dan berkat,” katanya.
Lebih 3 minit tak bergerak, batalkan
Ketika berbual dengan pemandu e-hailing yang kedua, lelaki itu menasihatkan sebaik-baiknya tunggu dalam tempoh tiga minit sahaja. Jika melebihi tempoh tiga minit dan masih tidak bergerak, maka pengguna wajar membatalkan pesanan.
“Kalau tunggu perkhidmatan e-hailing tiga minit sahaja. Jangan lebih kerana kebanyakan pemandu e-hailing scam nak duit. Kalau pengguna batalkan pesanan, pemandu akan mendapat RM3.
“Biasanya kalau dia kata 8 minit, mesti dia sudah dalam perjalanan ke lokasi. Tetapi dia tidak bergerak langsung. Selepas tiga minit tak bergerak, batalkan terus. Jangan bagi mereka peluang (untuk dapatkan duit dengan cara salah).
“Sebab ada sesetengah berperangai seperti itu dan saya pun tak suka mereka buat begitu. Tak baik (untuk imej perkhidmatan e-hailing) kan. Kita sama-sama mencari ‘makan’, jangan buat seperti itu.
“Saya pun datang dari jauh dan kalau ikutkan saya boleh batalkan, tetapi saya tak nak dan saya nak ambil juga pesanan ini,” kata pemandu e-hailing berkenaan.
The post Wanita dakwa ‘disidai’ pemandu e-hailing selama 20 minit, untuk dapatkan RM3? appeared first on The Reporter.



