
RANAU: Seorang wanita tempatan ditemui mati tergantung dalam bilik sewa di Koisaan Point, di sini minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin berkata, polis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.00 pagi, Jumaat lepas
Katanya, mayat wanita berusia 20-an yang berasal dari Tamparuli itu ditemui dalam keadaan tergantung di bilik sewanya oleh rakan sekerja dan dua penyewa lain.
“Siasatan awal mendapati mayat mangsa ditemui rakan sekerjanya ketika datang mengambil kunci kedai yang dipegang mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai di pekan di sini.
“Terdahulu, rakan mangsa menghubungi telefon bimbit mangsa namun tiada jawapan. Dia kemudian mengambil keputusan untuk datang ke bilik sewa mangsa untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.
“Apabila saksi tiba di bilik sewa mangsa, didapati pintu bilik itu berkunci dari dalam,” katanya kepada media.
Menurut Simiun, saksi mengetuk pintu bilik berkenaan sambil memanggil nama mangsa namun tiada jawapan.
“Saksi kemudian ke bawah untuk berjumpa pemilik rumah dan meminta kunci pendua.
“Selepas mendapat kunci, saksi membuka pintu bilik dengan bantuan dua jiran mangsa yang kedua-duanya menyewa sebuah bilik di premis itu.
“Sebaik pintu bilik dibuka, saksi mendapati rakannya (mangsa) tergantung pada tali. Saksi dan jiran mangsa kemudian memotong tali itu menggunakan gunting,” jelas Simiun.
Menurutnya, setakat ini tiada bukti ditemui yang boleh mengaitkan kematian mangsa dengan unsur jenayah.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Ranau untuk pemeriksaan dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu siasatan lanjut.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
