Wanita dicampak dari van di Kesas, sempat minta bantuan CPR sebelum maut

LocalPolitics
7 May 2025 • 12:08 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Seorang wanita yang dicampak keluar dari sebuah van di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) petang semalam dipercayai masih hidup ketika ditemui, namun tidak mampu bercakap dan berlumuran darah di atas jalan.

Menurut saksi kejadian, Faizan Ahmad, 34, dia menyedari sesuatu berlaku apabila kenderaan di hadapannya membrek secara mengejut sebelum melihat tubuh seorang wanita bergolek di atas jalan berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Awan Besar, arah ke Petaling Jaya.

“Ketika itu wanita berkenaan masih hidup, dia ada angkat kepala dan bernafas, tapi tak boleh bercakap. Dia minta tolong buat CPR,” kata Faizan ketika dihubungi media.

Faizan yang dalam perjalanan ke pejabatnya dari Cheras berkata, dia segera menghentikan keretanya di bahu jalan lalu menghubungi talian kecemasan MERS 999. Bagaimanapun, disebabkan mangsa berlumuran darah, dia tidak berani memberi bantuan pernafasan, namun ada individu lain yang tampil membantu.

“Sampai ambulans datang, barulah saya teruskan perjalanan. Lepas tu saya dimaklumkan wanita itu dah meninggal dunia,” tambahnya.

Dia turut memaklumkan wanita berkenaan mengalami lebam pada badan dan kelihatan dalam keadaan sangat teruk. Faizan juga melihat van yang dipercayai mencampak mangsa itu memecut laju meninggalkan lokasi selepas kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 2.58 petang.

“Pengadu memaklumkan terlihat seorang wanita dicampak dari sebuah van sebelum van itu melarikan diri. Mangsa wanita berusia 44 tahun beralamat di Menglembu, Ipoh, disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas hospital,” katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM untuk proses bedah siasat. Pihak polis kini sedang menyiasat identiti pemandu van terbabit dan motif kejadian.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan.