
MELAKA – Seorang pemilik kedai makan diperintahkan membayar denda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah mengambil seorang pekerja warga asing yang tidak memiliki pas yang sah, dua tahun lalu.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, G. Letchumy, 50, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan pindaan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah mengambil seorang pekerja wanita warganegara India, Saranya Subrami yang bekerja di sebuah rumah beralamat tanpa memiliki pas yang sah.
Perbuatan itu di lakukan di JC 332, Jalan Selandar 4, Taman Permai, Selandar dalam daerah Jasin pada 3 Julai hingga 22 September 2024.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum dengan seksyen sama yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap seorang yang diambil bekerja.
Mengikut fakta kes, tertuduh didapati telah mengambil wanita terbabit bekerja sejak Julai 2024 dan mangsa gagal menyerahkan pasport apabila diminta oleh pegawai dari Jabatan Tenaga Kerja negeri Melaka yang menjalankan serbuan bersama-sama anggota polis dan Jabatan Imigresen Malaysia negeri pada 22 September 2024.
Hasil siasatan mendapati mangsa telah dikawal oleh tertuduh dan hanya dibenarkan keluar bersamanya sahaja. Mangsa juga tidak dibayar gaji sejak bekerja di kedai makan milik tertuduh dengan waktu kerja yang panjang dan menjadi amah di rumahnya tanpa cuti mingguan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qalyyum Ramlan memohon agar hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh.
Peguam Khairul Anuar Kashim yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar denda minimum diberikan dengan alasan anak guamnya telah melalui proses prosiding mahkamah yang panjang selama setahun di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 sebelum mengaku bersalah bagi pertuduhan pindaan hari ini.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 atau penjara 12 bulan jika gagal bayar.-KOSMO! ONLINE
The post Wanita didenda RM10,000, tiga bulan kurung, kerah amah tanpa gaji appeared first on Kosmo Digital.






