Wanita Dipukul & Dicampak Bawah Jambatan Gara-gara Tegur Sekumpulan Lelaki Buat Bising

Entertainment
18 Apr 2023 • 2:25 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang wanita berusia 52 tahun menjadi mangsa apabila dipukul oleh sekumpulan lelaki hanya kerana menegur mereka berbuat bising.

Menurut laporan Berita Harian, kejadian yang berlaku di Kampung Sawah, Banting itu berlaku selepas wanita tersebut menegur suspek yang dipercayai tinggal di tingkat atas sebuah rumah sewa.

Dalam insiden jam 3.30 pagi itu, suspek dipercayai berang kerana ditegur lalu memukul mangsa menggunakan senjata tajam dan rotan yang menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di pergelangan tangan kiri dipercayai akibat ditetak oleh suspek.

Sejurus selepas memukul wanita berkenaan, suspek yang dipercayai berusia lingkungan 30-an bertindak mencampak mangsa ke bawah jambatan.

image is not available

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, berkata terdahulu pihak polis menerima maklumat orang awam yang terdengar suara meminta tolong dari bawah jambatan berkenaan.

Difahamkan, mangsa diselamatkan orang ramai selepas dipercayai berada di bawah jambatan itu selama kira-kira sejam dan kemudian dibawa ke Hospital Banting untuk rawatan.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa menegur tindakan suspek yang kerap membuat bising dan selalu meminum minuman keras serta mengambil dadah di dalam rumah sewa yang mereka diami.

Mangsa dipercayai dipukul serta dicederakan dengan senjata tajam dan rotan oleh beberapa lelaki warga tempatan, sebelum dicampak ke bawah jambatan.

Bertindak atas maklumat, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, menahan lima lelaki warga tempatan secara berasingan antara jam 1 tengah hari hingga 6 petang hari sama di sekitar Banting,” katanya.

Selain itu, pihak polis turut merampas sebuah kereta Proton Perdana serta sebatang rotan dipercayai digunakan suspek untuk memukul mangsa.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 30-an dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah serta dadah.

Malah, hasil saringan air kencing kesemua suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan ganja, kes disiasat mengikut Seksyen 364 dan 326 Kanun Keseksaan.

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.