Wanita ditemukan maut dengan kesan jerut di kebun pisang

16 Feb 2026 • 11:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang wanita warga Indonesia ditemui maut dengan kesan jerutan di leher di kawasan kebun pisang di Banting, pada Isnin. Gambar hiasan

KUALA LANGAT - Seorang wanita warga Indonesia ditemui maut dengan kesan jerutan di leher di kawasan kebun pisang di Banting, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima makluman daripada orang awam mengenai penemuan mayat wanita berusia 30-an itu kira-kira jam 11.07 pagi.

“Sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dan pemeriksaan di tempat kejadian menemui mayat seorang wanita.

“Siasatan awal mendapati terdapat kesan jerutan pada bahagian leher mangsa yang menimbulkan syak berlaku unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Akmalrizal berkata, siasatan dan risikan lanjut yang dijalankan mendapati, kejadian dipercayai membabitkan dua lelaki warga Indonesia yang bekerja sebagai tukang kebun di kawasan berkenaan.

“Kedua-dua suspek berusia 30-an dan 50-an telah ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.