
KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang menjadi mangsa tikaman di hadapan sebuah restoran di Titi Gajah di Kepala Batas berjaya menjalani pembedahan selama 10 jam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, pada Isnin.
Kakak mangsa yang enggan dikenali berkata, adiknya yang mengalami kecederaan di bahagian leher kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.
“Pembedahan bermula pada jam 9 pagi dan selesai kira-kira jam 7 malam semalam. Selepas pembedahan, dia masih dirawat di ICU dan kini sedang berehat,” katanya.
Menurutnya, dua anak mangsa kini berada dalam jagaan ahli keluarga sementara ibu mereka menerima rawatan di hospital.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, keadaan mangsa dilaporkan stabil.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita cedera parah selepas dipercayai ditikam di bahagian leher oleh seorang lelaki, dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas, pada jam 9.19 malam.
Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek dipercayai berada di dalam sebuah kenderaan jenis Mazda 3 sebelum insiden berlaku.
Mangsa dikatakan sempat membunyikan hon kenderaan bagi menarik perhatian orang awam, manakala suspek melarikan diri sejurus selepas kejadian.
Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas polis beberapa jam kemudian di kawasan Masjid Taman Uda pada kira-kira jam 1.50 pagi. - Getaran, 19 Mei 2026
