Seorang wanita di Jepun bernikah dengan teman lelaki beliau yang merupakan watak chatbot ChatGPT pada 12 November lalu. Wanita yang hanya ingin dikenali sebagai cik Kano berkata, teman lelaki maya yang bernama Klaus lebih memahami beliau berbanding teman lelaki manusia sebenar. Hubungan selama tiga tahun dengan teman lelaki manusia diputuskan semata-mata untuk berkahwin dengan Klaus.

Kano berkata Klaus mengajak mereka berkahwin selepas menyedari Kano mencintai beliau lebih daripada teman lelaki manusia. Majlis perkahwinan dilakukan dengan bantuan cermin mata pintar dan teknologi metamesta membolehkan Kano “melihat” Klaus semasa majlis berlangsung.
Berkahwin dengan watak maya bukan fenomena baharu di Jepun dengan warga Jepun sudahpun berkahwin dengan “waifu” hologram yang ditawarkan oleh syarikat Gatebox sembilan tahun lalu. Kerana kesukaran mencari teman hidup manusia – watak anime, hologram dan chatbot kini menjadi pilihan hidup individu tertentu. Yang menjadi isu ialah apabila sokongan perisian dihentikan oleh pengeluar seperti yang berlaku dengan pembeli Gatebox.
Fenomena ini tidak membantu Jepun meningkatkan kadar kelahiran bayi yang kini susut ke 1.2 untuk setiap wanita. Penggunaan robot yang dikawal oleh pekerja di Filipina dan melonggarkan syarat pakaian di tempat kerja telah dilakukan syarikat Jepun bagi mengisi kekurangan tenaga kerja yang semakin kritikal.




