KOTA BHARU - Seramai 1,000 wanita disasarkan berhimpun dalam Sidang Kemuncak Wanita Kelantan & Wanita Kelantan #QuranHour 2026 yang akan berlangsung 10 Oktober ini.
Program akan berlangsung di Dewan Utama, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Kubang Kerian di sini hasil anjuran bersama Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) dan Wanita Ikram Negeri Kelantan.
Program membawa tema Wanita Kental: Seruan Global untuk Wanita sebagai Tonggak Kekuatan Emosi Ummah dengan aspirasi melahirkan wanita kental, keluarga taat, masyarakat rahmah dan ummah terbaik.
Pengarah Program, Dr Sharifah Mastura Syed Mohamad berkata, program berkenaan memberi penekanan kepada pembinaan kekuatan dalaman wanita yang bermula melalui hubungan dengan Allah SWT serta menjadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan.
“Wanita kental bukan bererti wanita yang tidak pernah lemah atau diuji. Kekuatan itu dibina apabila jiwa kembali kepada Allah, dipandu oleh al-Quran dan mampu membawa ketenangan serta kekuatan kepada keluarga dan masyarakat.
“Kami tidak mahu menjadi kuat untuk diri sendiri sahaja tapi mahu kekuatan wanita menjadi kekuatan ummah,” katanya kepada Sinar Harian pada jelajah kempen program berkenaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di sini pada Khamis.
Menurutnya, pengisian program berteraskan tadabbur Surah al-Muzzammil dan Surah al-Nisa’ ayat 34 hingga 36 selain mengetengahkan konsep Selimut Khadijah yang diinspirasikan daripada peranan Saidatina Khadijah dalam memberikan ketenangan, keyakinan dan sokongan kepada Rasulullah SAW ketika berdepan cabaran.
Antara pengisian utama ialah Wanita Kelantan #QuranHour 2026, ucaptama, tadabbur al-Quran dan Forum Perdana.
“Program itu turut menyaksikan pelancaran Deklarasi Wanita Kental Kelantan 2026 dan Ikrar Wanita Kental,” katanya.
Sidang kemuncak berkenaan turut menghimpunkan tokoh serta pengisi daripada bidang al-Quran, pembangunan wanita, kesihatan emosi, keluarga dan kemanusiaan.
Majlis perasmian dijadual disempurnakan oleh Tengku Puan Temenggong Kelantan, Tunku Puan Sri Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Kata Dr Sharifah, pihak penganjur berharap perhimpunan itu tidak berakhir sebagai program sehari, sebaliknya menjadi pencetus kepada gerakan wanita yang diterjemahkan menerusi pembinaan jiwa, pengukuhan institusi keluarga, budaya saling menguatkan serta khidmat kepada masyarakat.
“Orang ramai khususnya wanita di Kelantan dijemput menyertai program berkenaan bersama ahli keluarga, sahabat, komuniti, Rumah Ngaji dan pertubuhan wanita secara berkumpulan,” katanya.




