UMNO Kelantan junjung kebijaksanaan Agong susulan tahanan rumah Najib

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 5:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: UMNO Kelantan junjung kebijaksanaan Agong susulan tahanan rumah Najib
Ahmad Jazlan. FOTO: ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – UMNO Kelantan menjunjung tinggi kebijaksanaan dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim susulan keputusan membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

Pengerusi UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, beliau bersama seluruh kepimpinan dan ahli UMNO negeri turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan berkenaan.

“Patik menjunjung tinggi kebijaksanaan dan budi bicara DYMM Tuanku serta menzahirkan setulus-tulus penghargaan atas limpah ehsan perkenan DYMM Tuanku kepada perkara ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Ahmad Jazlan, penghormatan terhadap institusi Raja, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang akan terus menjadi pegangan UMNO Kelantan.

Perkembangan itu susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan pengampunan bersyarat kepada Najib juga bekas Perdana Menteri keenam itu bagi menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-64 bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara, hari ini.

Pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan.

Sekiranya Najib gagal mematuhi mana-mana syarat berkenaan, pengampunan tersebut terbatal dan beliau perlu meneruskan baki hukuman di penjara.

Perkembangan ini turut berbeza daripada isu Titah Adendum yang menjadi pertikaian sebelum ini apabila Najib pada April lalu menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman berkaitan dakwaan perintah tambahan yang membolehkan baki hukuman dijalani menerusi tahanan rumah.

Ahmad Jazlan turut mendoakan agar Yang di-Pertuan Agong dikurniakan kesejahteraan serta keamanan dan keharmonian negara terus dipelihara.

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved