
KUALA LUMPUR – Wanita yang sebelum ini mengkritik pempengaruh masakan, Che Sayang secara terbuka tampil memohon maaf susulan kenyataannya yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.
Menerusi satu hantaran di laman X, wanita itu mencuri perhatian apabila dia menyifatkan penyediaan resipi oleh Che Sayang sebagai ‘tangkap muat’ dan tidak mempunyai seni.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut menerima pelbagai reaksi negatif daripada netizen yang berpendapat Che Sayang hanya mengetengahkan kaedah masakan ringkas bagi memudahkan pengikutnya meniru resipi yang dikongsikan.
Susulan itu, wanita itu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui keterlanjuran dalam mengkritik.
Dalam kenyataannya, beliau menegaskan bahawa bukan niatnya untuk membuli atau menyebarkan kebencian terhadap sesiapa, namun mengakui pemilihan kata-kata seperti “tak semenggah” serta komen mengenai kemahiran dan teknik Che Sayang kedengaran kasar dan tidak sesuai.
“Saya sepatutnya menghargai usaha beliau dalam menghasilkan video tersebut. Untuk itu, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya.
“Sebagai seseorang yang menghargai prinsip makanan dan disiplin kulinari, saya sedar bahawa saya mungkin telah keterlaluan dalam menyuarakan pendapat secara terbuka,” katanya.
Beliau turut mengakui bahawa kata-katanya mungkin telah melukakan atau menyinggung perasaan banyak pihak dan memohon maaf secara ikhlas.
“Kepada Che Sayang dan kepada sesiapa sahaja yang berasa sedih atau terkesan dengan komen saya sama ada secara peribadi, melalui Anything Pasta atau @albeitniko, saya benar-benar memohon maaf.
“Semoga Ramadan ini menjadi waktu untuk muhasabah diri, perkembangan dan memperbaiki tingkah laku bagi kita semua.
“Saya akan belajar daripada perkara ini dan menjadi lebih baik pada masa akan datang. Terima kasih,” katanya.
Terdahulu, netizen menyatakan bahawa resipi yang dikongsi oleh Che Sayang sangat membantu terutamanya bagi mereka yang tinggal seorang diri.
Mereka juga mempertahankan Che Sayang dengan merasakan resipinya sangat bermanfaat untuk dikongsi dan dilakukan. -MYBERITA



