
Kota Kinabalu: Seorang wanita berumur 31 tahun didenda sejumlah RM25,000 kerana menggaji pendatang tanpa izin (PTI) dan membenarkan mereka tinggal di premisnya.
Sutriani Shamsuddin mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz, kepada dua pertuduhan terhadapnya.
Bagi pertuduhan pertama, Sutriani didenda RM10,000 atau penjara sebulan bagi setiap PTI, membabitkan dua PTI yang digajinya.
Dia didapati menggaji seorang warga Indonesia berusia 37 tahun dan seorang warga Filipina berusia 21 tahun, yang masing-masing tidak mempunyai sebarang dokumen, pada jam 6.35 petang 12 Okt tahun ini di Restoran Payau Borneo di Lorong Permai 11, Plaza Manggatal Fasa II di Taman Permai Stage 11, Manggatal.
Kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 itu membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda antara RM10,000 dan RM50,000, atau kedua-duanya, bagi setiap PTI terbabit.
Bagi pertuduhan kedua, Sutriani didenda RM5,000 lagi atau penjara sebulan kerana membenarkan seorang warga Filipina berusia 48 tahun tanpa sebarang dokumen untuk tinggal di tempat dan masa yang sama.
Semasa rayuan, Sutriani yang tidak diwakili, meminta hukuman ringan.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Abdul Lamit dari Jabatan Imigresen, menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.
Sementara itu, sebuah klinik swasta didenda RM6,000 atau penjara tujuh hari kerana memiliki produk tidak berdaftar.
Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim menjatuhkan hukuman itu ke atas Kenson Medical [email protected] Sdn Bhd selepas wakilnya mengaku bersalah kepada pertuduhan itu.
Klinik itu didapati memiliki produk tidak berdaftar iaitu 500 strip Ziverdo Kit yang mengandungi Ivermectin pada jam 2.10 petang 9 Sept 2021 di premis klinik di 88 Marketplace, dekat sini.
Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Mad Sapri Tumiran dari Jabatan Farmasi, sementara peguam Luke Resa Balang mewakili syarikat itu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
