
Kota Kinabalu: Seorang lelaki pendatang tanpa izin (PTI) berusia 30 tahun yang cuba menaiki pesawat tanpa tiket penerbangan ke Kuala Lumpur untuk mencari saudaranya, dipenjara setahun.
Majistret Jessica Ombou Kakayun menjatuhkan hukuman itu kepada Alsid Patulla yang mengaku bersalah kepada pertuduhan terhadapnya pada Khamis.
Alsid melakukan kesalahan itu dengan menceroboh dan memasuki kawasan larangan iaitu tangga pesawat pada jam 9.50 malam 27 Nov tahun ini di luar Pintu 8 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini.
Kesalahan mengikut Seksyen 5(1) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda sehingga RM1,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Alsid menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap dan selepas selesai hukuman penjara, dia diperintahkan dirujuk ke Jabatan Imigresen.
Mahkamah mendengar bahawa Alsid telah memasuki kawasan larangan tanpa sebarang permit dengan memanjat pintu pagar berhampiran jalan utama dan berjalan kira-kira tujuh kilometer sehingga dia bertemu kapal terbang itu.
Dia kemudian cuba menaiki pesawat tetapi ditahan serta-merta oleh anggota keselamatan yang bertugas.
Alsid terus dibawa ke balai polis KKIA untuk tindakan lanjut.
Semasa siasatan, Alsid mengaku mahu menaiki pesawat ke Kuala Lumpur tanpa tiket untuk mencari saudaranya di sana.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


