
Wanita berhati mulia jadi korban pertama banjir yang melanda di Sabah
Wanita Maut Dihanyut Arus Deras Selepas Hantar Makanan Pada Mangsa Banjir Di Sabah. Banjir yang melanda Sabah sejak petang semalam telah meragut nyawa seorang wanita. Mangsa telah dihanyutkan oleh arus deras dan ditemui meninggal dunia selepas menghantar makanan kepada penduduk yang terperangkap dalam bencana tersebut pada awal pagi ini.
Nasib malang menimpa Monica Ting Siew Kwong, berusia 37 tahun, ketika dalam perjalanan pulang bersama suaminya, Hii Ding Wei. Menurut laporan, mereka baru sahaja selesai menghantar makanan kepada penduduk yang terperangkap banjir di Pekan Donggongon pada pukul 1.40 pagi.

Suami cuba selamatkan isteri dari arus deras
Semasa dalam perjalanan pulang, pasangan tersebut cuba melalui kawasan yang dinaiki air berhampiran Bulatan Sigah, Jalan Penampang Bypass. Malangnya, Monica telah dihanyutkan oleh arus deras. Suaminya cuba menyelamatkannya dengan menarik tangannya, tetapi arus yang kuat memisahkan mereka apabila Monica terlepas daripada pegangan suaminya.
Ketua Polis Penampang, Superintendan Sammy Newton, melaporkan bahawa mayat mangsa ditemui tersangkut di celah pokok berhampiran rumah penduduk di Kampung Hungab pada kira-kira pukul 8 pagi. Lokasi penemuan mayat tersebut adalah lebih kurang 500 meter dari tempat dia dihanyutkan.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis telah memulakan operasi pencarian selepas menerima laporan pada pukul 1.45 pagi. Kasut mangsa yang ditemui berdekatan dengan lokasi mayatnya telah membantu dalam usaha pencarian.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

