Wanita maut kereta terbabas, polis temui 210 gram heroin

LocalCars
4 Feb 2026 • 1:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kereta jenis Perodua Myvi dinaiki dua wanita yang terbabas di Jalan Suka Menanti pada Selasa malam. Foto: PDRM
image is not available
Wanita yang meninggal dunia dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk bedah siasat. Foto: PDRM

ALOR SETAR – Seorang wanita maut manakala rakannya cedera parah selepas kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Suka Menanti di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.20 malam, ketika anggota polis sedang menjalankan Op Gempur di kawasan berkenaan.

Menurutnya, polis mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum bertindak mengejar kereta terbabit yang kemudiannya terlibat dalam kemalangan.

“Akibat kemalangan itu, seorang wanita berusia 33 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi wanita yang memandu kereta berkenaan berusia 37 tahun mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Syed Basri berkata, hasil pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian mendapati pihaknya menemui satu plastik berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 210 gram.

Beliau berkata, pemandu kereta tersebut didapati mempunyai 12 rekod lampau berkaitan kes narkotik.

**media[3423272]**

Menurutnya, rakan wanita yang meninggal dunia pula mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes narkotik serta satu rekod jenayah.

“Mayat wanita itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat, manakala rakannya yang cedera parah kini menerima rawatan di hospital yang sama.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan kedua-dua individu tersebut dalam aktiviti pengedaran dadah,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.