
MACHAP - Seorang wanita maut dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Jalan Simpang Renggam-Kampung Setia Jaya, berhampiran jejambat ke Ayer Hitam, pada Isnin.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP), Maznan Muhamad, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, pihaknya menerima panggilan mengenai pada jam 1.16 petang.
Katanya sebaik menerima panggilan tersebut, satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dengan 12 anggota bomba dari BBP Renggam dihantar ke lokasi.
**media[2782352]**
"Setibanya ke lokasi didapati kemalangan berkenaan melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HRV dengan lori jenis Hino.
"PKO kemudiannya mengeluarkan pemandu HRV Honda yang merupakan seorang wanita berusia 46 daripada tersepit dengan menggunakan peralatan khas.
"Bagaimanapun, wanita tersebut disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan di lokasi sementara pemandu lori Hino, 36,tidak mengalami kecederaan," katanya.
Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 2.19 petang.



