Wanita maut selepas MyVi rempuh pokok di Tawau

LocalCars
23 Oct 2026 • 4:51 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Wanita maut selepas MyVi rempuh pokok di Tawau

TAWAU: Seorang wanita tempatan berusia 21 tahun maut akibat kecederaan parah selepas kereta jenis Myvi yang dipandunya merempuh sebatang pokok di bulatan Airport Lama di sini, pada jam 2 pagi, Rabu.

Mangsa Nurin Haziqah Mohamed Sirajudeen tersepit di dalam kenderaan itu selama lebih 30 minit sebelum berjaya dikeluarkan namun disahkan telah meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Rosdi Mat Jusoh berkata siasatan awal mendapati kereta Myvi yang dipandu mangsa sedang dalam perjalanan menuju ke Hospital Tawau dari arah Jalan Utara semasa kejadian berlaku.

“Apabila sampai di bulatan Airport Lama, pemandu dipercayai hilang kawalan ke atas kenderaannya, menyebabkan ia terbabas ke sebelah kanan pembahagi jalan sebelum merempuh sebatang pokok,” katanya.

Rosdi berkata kemalangan itu menyebabkan pemandu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan pegawai perubatan Kementerian Kesihatan mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian pada jam 2.46 pagi.

Seorang lelaki warga asing berusia 20 tahun yang berada di dalam kereta sama serta duduk di kerusi penumpang hadapan hanya mengalami kecederaan ringan termasuk luka di bahagian dahi.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saksi kejadian digesa untuk membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Joseph Jelian di 016-8067272,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan terbabit pada jam 2.29 pagi dan mengerah satu pasukan ke lokasi kejadian.

“Pasukan kami yang dianggotai tujuh anggota, diketuai oleh komander operasi Pegawai Kanan Bomba I Zougrana Konin tiba pada jam 2.34 pagi dan mendapati seorang wanita dewasa tersepit di kerusi pemandu,” katanya.

Jemishin berkata pasukan bomba dengan segera memulakan kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan berjaya mengeluarkannya pada jam 2.50 pagi, namun mangsa disahkan telah meninggal dunia.

Beliau menambah mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala penumpang kereta berkenaan telah dibawa ke Hospital Tawau oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan ambulans Kementerian Kesihatan.

“Operasi di lokasi kejadian tamat pada jam 3.10 pagi selepas pasukan kami memastikan semua potensi bahaya di kawasan sekeliling telah terkawal dan diatasi,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved